malaysiakini logo
story-image
ADS

Warga Malaysia meraikan Hari Malaysia pada setiap 16 September, hari bersejarah pembentukan persekutuan pada 1963.

Bagaimanapun kita tidak boleh mengabaikan satu lagi tarikh 16 September, yang berlaku pada 1982, berlakunya antara kekejaman manusia paling buruk dalam sejarah rantau Timur Tengah moden.

Warga Palestin dan Lubnan sebagai mangsa, sejumlah warga Lubnan sebagai penjenayah dan tentera Israel sebagai pendukung.

Kem pelarian Palestin iaitu Sabra dan Shatila di Beirut menjadi mercu tanda pembunuhan manusia yang paling ikonik di dunia.

Selama tiga hari, dari 16 hingga 18 September 1982, militia Lubnan menjelajah dua kem tersebut dan secara sistematik menyembelih pelarian yang terperangkap dalam kepungan tentera Israel.

Tiga dekad berlalu, masih tiada akauntabiliti dan tiada semakan sejarah - tiada warga Lubnan atau Israel yang pernah dibawa ke muka pengadilan untuk jenayah pembunuhan massa ke atas ribuan orang itu.

Pada hari itu, pembunuhan di Sabra dan Shatila dianggarkan antara 460 dan 3,500 orang awam, kebanyakan penduduk Palestin dan Syiah Lubnan, dilaksanakan oleh anggota militia yang rapat dengan Parti Kataeb, juga dikenali sebagai Phalange. Parti Kataeb ialah parti sayap kanan Kristian di kawasan Sabra dan kem pelarian Shatila.

Dunia terkejut. Bermula kira-kira pukul enam petang 16 September hingga lapan pagi 18 September 1982, pembunuhan massa telah dilakukan oleh militia Phalange disaksikan sekutu mereka iaitu tentera Israel .

Sabra dan Shatila menggambarkan salah satu kekejaman terburuk dalam sejarah Timur Tengah moden yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Pasukan militia Kristian Lubnan yang bersekutu dengan Israel memasuki kem pelarian Shatila dan kejiranan Sabra yang bersebelahan, di bawah pengawasan tentera Israel dan memulakan penyembelihan warga Palestin yang menggemparkan dan menyebabkan kecaman dari seluruh dunia.

Sepanjang sehari setengah, dihitung 3,500 orang awam Palestin dan Lubnan - kebanyakannya wanita, kanak-kanak, dan orang tua - dibunuh.

Ariel Sharon (kanan)

Pada 6 Jun 1982, Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan. Ia telah lama dirancang oleh menteri pertahanan Israel ketika itu, Ariel Sharon yang mahu memusnahkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang berpusat di Lubnan pada masa itu.

Sharon juga merancang untuk menaikkan kerajaan boneka diketuai Parti Kataeb. Pasukan Israel terus maju ke ibu kota Beirut, mengepung dan mengebom bahagian barat bandar, di mana terletaknya ibu pejabat PLO, kem pelarian Shatila dan kejiranan Sabra.

Pada hari Rabu, 15 September, tentera Israel mengepung kem pelarian Palestin di Shatila dan kejiranan Sabra di Beirut Barat. Keesokan harinya, tentera Israel membenarkan kira-kira 150 anggota Phalange untuk masuk ke Sabra dan Shatila. Puak Phalange yang terkenal dengan kekejaman dan sejarah kekejaman terhadap penduduk Palestin, adalah musuh PLO dan musuh sekutu muslim di Lubnan sebelum perang saudara di Lubnan (1975-1990).

Hampir sejurus selepas pembunuhan itu bermula, askar Israel yang mengelilingi Sabra dan Shatila menyedari bahawa orang awam sedang dibunuh, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya.

Pada Jumaat 17 September, seorang wartawan Israel di Lubnan menghubungi Ariel Sharon untuk memaklumkan tentang laporan bahawa pembunuhan beramai-ramai berlaku di Sabra dan Shatila.

Para Phalangist telah diperintahkan oleh tentera Israel untuk "membersihkan" pejuang PLO di Sabra dan Shatila, sebagai sebahagian dari operasi mereka yang bergerak ke Beirut Barat.

Tentera Israel menerima laporan beberapa kekejaman Phalange di Sabra dan Shatila tetapi tidak mengambil sebarang tindakan untuk mencegah atau menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu.

Tiga puluh tahun kemudian, masih tiada jumlah yang tepat untuk menentukan bilangan yang terbunuh. Banyak mangsa terkubur di kubur besar oleh Phalange dan tidak ada keinginan politik oleh pihak berkuasa Lubnan untuk menyiasatnya.

Penyiasatan rasmi Israel, Suruhanjaya Kahan, menyimpulkan jumlah mangsa antara 700 dan 800, berdasarkan penilaian perisikan tentera Israel.

Siasatan oleh wartawan British yang berpangkalan di Beirut , Robert Fisk, yang menjadi antara yang pertama meninjau tempat kejadian selepas pembunuhan berakhir, melaporkan Bulan Sabit Merah Palestin meletakkan jumlah kematian lebih daripada 2,000 orang.

Wartawan Israel Amnon Kapeliouk dalam bukunya yang bertajuk Sabra & Shatila: Siasatan keatas Pembantaian menganggarkan angka maksimum 3,000 orang.

Peristiwa itu menerima beberapa kecaman daripada masyarakat dunia, namun dunia tetap diam dan tiada tindakan diambil untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Beribu yang terbunuh dalam operasi pembunuhan itu adalah bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan orang tua, yang mengikut laporan Human Rights Watch sebahagian mayat mereka telah dihancurkan sebelum atau selepas mereka dibunuh.

Kini selepas lebih dari 3 dekad, rakyat Palestin masih tinggal di kem pelarian yang sempit dan buruk di Sabra dan Shatila.

Pada 1983, satu suruhanjaya yang dipengerusikan oleh pembantu Setiausaha Agung PBB ketika itu Seán MacBride menyimpulkan Israel, sebagai kuasa penceroboh kedua-dua kem itu, bertanggungjawab penuh ke atas kekejaman tersebut. Suruhanjaya itu juga menyimpulkan pembunuhan beramai-ramai itu adalah satu bentuk genosid.

Pada tahun sama, Suruhanjaya Kahan Israel yang dilantik untuk menyiasat insiden tersebut mendapati anggota tentera Israel sedar pembunuhan beramai-ramai sedang dijalankan tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk menghentikannya.

Suruhanjaya itu menyifatkan Israel secara tidak langsung bertanggungjawab, dan Ariel Sharon, yang ketika itu menteri pertahanan, bertanggungjawab secara peribadi terhadap kes itu "kerana mengabaikan bahaya pertumpahan darah dan balas dendam".

Hari ini tentera Israel masih meneruskan agenda pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan di Gaza dengan sokongan kuat dari Amerika Syarikat.

Tragedi kemanusiaan yang dialami rakyat Palestin oleh keganasan pihak Phalangist dan tentera Israel dan penafian keadilan bagi mangsa adalah satu jenayah.

Tanpa status kerakyatan di mana-mana negara, pelarian Palestin di Lubnan tidak boleh bekerja dalam puluhan pekerjaan. Menurut agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA), kebanyakan lelaki di sana menjalankan perniagaan kedai runcit atau mencari pekerjaan sebagai buruh, manakala wanita bekerja sebagai pencuci.

Kira-kira dua pertiga daripada penduduk di kem Shatila berada bawah umur 40 tahun. Ini bermakna sebahagian besarnya membesar sepenuhnya dalam kem itu.

Bagi warga Palestin, pembunuhan di Sabra dan Shatila tetap menjadi peristiwa traumatik, dikenang setiap tahun. Ramai yang terselamat terpaksa terus hidup di Sabra dan Shatila, berjuang untuk meneruskan kehidupan dan terus dihantui ingatan ngeri tentang penyembelihan yang terjadi pada 1982.

Sehingga hari ini, tiada siapa yang dibawa ke muka keadilan untuk didakwa terhadap jenayah yang berlaku.

Bagi dunia, pembunuhan Sabra dan Shatila adalah peringatan yang kuat dan tragis mengenai jenayah terhadap manusia, serta kegagalan masyarakat antarabangsa untuk memberi keadilan kepada para korban.

Ia juga menunjukkan betapa jutaan warga Palestin yang tidak memiliki kerakyatan masih menghadap situasi yang sangat sukar, dan betapa mereka berdepan kehidupan yang bahaya tanpa jaminan terhadap masa depan.


MOHD AZMI ABDUL HAMID merupakan presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya, tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen