malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Pegawai Zuraida bidas sindiran Najib tentang ‘menteri Hong Kong’
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 4:54 AM
Dikemaskini: 9:09 AM
ADS

Mantan PM Najib Razak yang sedang dibicarakan di mahkamah dalam tuduhan menyeleweng wang rakyat semalam mengeluarkan kenyataan yang menyindir cadangan YB menteri perumahan dalam isu rumah.

Niat dan buah fikiran yang dilontarkan oleh YB menteri adalah agar rumah-rumah mewah siap yang sudah sampai ke tahap lambakan tersebut terjual adalah bagi menyelesaikan masalah yang tercipta dari zaman pentadbiran dahulu termasuk akibat kebobrokan Najib sendiri.

Nilaian RM100 bilion rumah mewah yang tidak terjual ini bukanlah wujud sekelip mata.

Ia terkumpul sejak sekian lama kerana gagalnya pentadbiran terdahulu menjalankan tugas dengan bijak dan teliti.

Setiap kebenaran untuk membina rumah diberikan tanpa kajian impak yang betul dan tanpa penelitian kepada data yang akhirnya mengakibatkan mismatched atau salah padan antara keperluan semasa dengan jenis rumah dibina.

Selain itu ia juga dicadang untuk diimplementasi bersekali dengan skim Malaysia My Second Home yang bermula seawal tahun 2002 lagi.

Beliau juga bukanlah bertindak sebagai menteri perumahan Hong Kong atau China apabila mengutarakan cadangan itu.

Beliau sekadar bertindak sebagai seorang menteri dan warganegara yang bertanggungjawab yang berusaha memastikan bahawa tidak bertambah lagi projek gajah putih dalam negara dan mencari jalan keluar kepada bencana yang ditinggalkan pentadbiran Najib terdahulu.

Saya percaya sekiranya rumah-rumah mewah yang telah siap ini terjual, pihak pemaju hartanah terlibat dapat mencairkan modal mereka yang beku dan kemudiannya boleh mengambil bahagian dalam membina pula rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Selain menarik aliran masuk wang ke dalam negara dan membantu pemindahan teknologi serta kepakaran ekspatriat yang masuk dengan kawalan melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Ia adalah congakan ekonomi mudah yang Najib gagal fahami.


NOR HIZWAN AHMAD ialah setiausaha politik kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen