malaysiakini logo
story-image
ADS

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menzahirkan kebimbangan terhadap kezaliman polis yang semakin banyak dan ruang sivil yang semakin merosot di Hong Kong berikutan penahanan 10 orang pemimpin pembangkang dan pergerakan sosial serta larangan terhadap himpunan yang dirancang pada 31 Ogos 2019.

Turut ditahan termasuklah aktivis seperti Joshua Wong dan Agnes Chow daripada Parti Demosisto.

Aktivis lain yang ditahan juga termasuklah Au Nok-hin, Yau Man King (bekas pembantu kepada Ahli Majlis Daerah Sha Tin James Chan Kwok-keung), Jeremy Tam (Naib Pengerusi Parti Sivik Hong Kong), Andy Chan, Althea Suen (bekas Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Hong Kong), Rick Hui (Ahli Majlis Daerah Sha Tin), Ching Tai-Cheng (Ahli Majlis Perundangan dan ahli Civic Passion) dan Ivan Lam (Pengerusi Demosisto).

Masa penangkapan yang sewenang-wenangnya ini, berlaku sebelum satu perhimpunan besar-besaran, adalah jelas dilakukan dengan motif politik bagi menyebarkan rasa takut kepada rakyat di Hong Kong serta untuk melemahkan penyertaan rakyat di perhimpunan yang dirancangkan, dengan mengorbankan hak kebebasan fizikal peribadi aktivis dan ahli politik pembangkang yang ditahan.

Joshua Wong dan Agnes Chow telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 30 Ogos 2019 itu sendiri tetapi berhadapan dengan pendakwaan yang tidak berkaitan dengan perhimpunan pada 31 Ogos 2019.

Mereka didakwa dengan secara haram menganjurkan perjumpaan awam di luar balai polis pada 21 Jun. Bersih 2.0 menggesa kerajaan Hong Kong untuk menghormati hak kebebasan fizikal individu dan hak untuk berhimpun secara aman rakyat Hong Kong.

Tidak menjadi satu jenayah untuk menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan aman. Kami menggesa mereka yang ditangkap dibebaskan dengan segera dan dakwaan terhadap mereka digugurkan dengan serta-merta.

Bersih 2.0 seterusnya mendesak kerajaan Hong Kong untuk memberikan respons segera terhadap lima tuntutan jutaan rakyat yang telah turun ke jalan berminggu-minggu dan bukannya menghalang mereka dengan gas pemedih mata, peluru, meriam air dan penahanan besar-besaran.

Lima tuntutan tersebut termasuklah penarikan sepenuhnya cadangan undang-undang ekstradisi, penarikan penggunaan perkataan “rusuhan” kepada perhimpunan rakyat, pembebasan tanpa syarat orang yang ditahan kerana membantah serta pendakwaan terhadap mereka digugurkan, siasat bebas terhadap kelakuan polis dan pelaksanaan hak mengundi yang sejagat.

Demokrasi yang sebenar adalah daripada rakyat, bagi rakyat dan kepada rakyat. Kerajaan Hong Kong perlu memandang serius gesaan rakyatnya dan perlu memulakan proses politik yang terbuka, telus dan demokratik untuk mengendalikan tuntutan rakyatnya.

Ia patut dilakukan walaupun lambat, tetapi lebih baik daripada tidak buat apa-apa langsung.

Lihat Komen