malaysiakini logo
story-image
ADS

Kita harus sedar bahawa negara ini bukanlah milik Dr Mahathir Mohamad mahupun Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bukan juga milik Lim Guan Eng mahupun Mohamad Sabu.

Walaupun mereka mempunyai jawatan tertinggi dalam kerajaan hari ini, itu bukan bermakna Malaysia adalah milik mereka.

Namun, kita juga harus sedar bahawa negara ini bukan milik Zahid Hamidi, apatah lagi Abdul Hadi Awang.

Walaupun tercatat di dalam buku teks Sejarah tingkatan 5 bahawa UMNO berusaha sehabis baik untuk memerdekakan Tanah Melayu, hakikatnya negara yang bertuah ini bukanlah milik Umno semata-mata.

Justeru, negara ini milik siapa?

Bincanglah sebanyak manapun yang mahu mengenai sejarah Tanah Melayu, penjajahan British, penaklukan jepun, Perjanjian Pangkor dan suasana umat Melayu pascazaman kolonial. Kalau mentaliti kita sama sahaja, tiada apa-apa guna.

Susunlah sebanyak mana pun forum atau wacana yang mahu mengenai hubungan di antara kaum, isu ketuanan Melayu dan negara bangsa, tapi kalau mentaliti sama sahaja, ia tiada guna.

Tulislah sebanyak mana pun artikel atau esei yang mahu dengan harapan pembaca akan terbuka hati untuk menerima kebenaran. Percayalah, tidak akan ke mana usaha itu.

Tulislah mengenai hal-hal kedamaian, kesatuan dan ketenteraman. Tapi kalau mentaliti kita sama saja, tiada gunanya.

Maka timbul pula satu persoalan yang lain: Apakah yang ada di sebalik persoalan mentaliti kita yang sama sahaja?

Sebelum itu, saya mahu memberi ruang kepada anda untuk membuka fikiran yang terperuk lama di bawah tempurung itu.

Cuba renung sejenak dua persoalan yang diutarakan tadi: Negara ini sebenarnya milik siapa? Kemudian, apakah maksud "mentaliti kita sama sahaja"?

Persoalan semacam ini pahit jika dibiarkan melangit. Semua kaum nampaknya berfikir sambil mendongak ke langit.

Kaum Melayu mendongak langit yang sama seperti kaum Cina dan India. Kaum Cina mendongak langit yang sama dengan langit Melayu dan India.

Tetapi itulah namanya manusia. Sebahagian daripada kita tidak habis-habis memikirkan tentang kaumnya sahaja.

Semakin lama, semakin kita prejudis. Semakin lama kita melaungkan merdeka, semakin kita membina tembok pemisah. Politikus seharusnya menyatukan tetapi kadang-kadang mereka mengambil kesempetan.

Ahli akademik pula terlalu menjaga periuk nasi.

Selepas itu apa? Ini juga persoalan. Tapi cukuplah dua persoalan itu dulu diutarakan.

Jarang sekali kita mencari titik persamaan untuk membuka pintu kedamaian. Kita acap kali menjadikan perbezaan sebagai sebab untuk menjauhkan hubungan antara satu dengan yang lain.

Semua orang hanya mementingkan kemakmuran diri sendiri. Jawablah persoalan itu sendiri.


LUTHFI YUSRI ialah aktivis Harmoni UM dan editor Nadi Mahasiswa Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen