malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam isu wanita dan politik di Malaysia, ternyata kita masih ke belakang berbanding negara-negara membangun lain dalam memberikan pengiktirafan kesamarataan gender kepada wanita sebagai wakil dalam bidang politik.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan pencapaian terbaik golongan wanita dalam arena politik nasional tatkala buat pertama kali dalam sejarah, wanita diangkat menjadi timbalan perdana menteri.

PRU14 juga buat julung-julung kalinya mencatatkan rekod seramai lima orang menteri kabinet wanita telah dilantik.

Dalam sesi jawab lisan mesyuarat kedua, penggal pertama, parlimen keempat belas di parlimen, Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan objektif untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita sebagai pembuat keputusan di dalam parlimen, seiring dengan matlamat global.

Bagaimanapun, kerajaan tidak meletakkan objektif tersebut sebagai dasar tetapi merupakan nilai minimum yang perlu dilepasi.

Dalam erti kata lain, jumlah minimum ahli parlimen wanita yang disasarkan oleh kerajaan adalah seramai 66 orang.

Merujuk kepada keputusan pilihan-pilihan raya umum sebelumnya, peningkatan peratusan ahli parlimen wanita di Malaysia berlaku agak perlahan dan berskala kecil.

Secara purata, kenaikan peratusan ahli parlimen wanita di Malaysia hanyalah pada kadar sau hingga empat peratus pada setiap PRU.

Lantaran itu, objektif untuk mencapai 30 peratus ahli parlimen wanita di Malaysia dilihat sukar atau hampir mustahil untuk dicapai dalam tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang jika kerajaan tidak menggerakkan usaha yang lebih proaktif dan progresif dalam mencapai matlamat tersebut.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada 2018, daripada keseluruhan 687 orang calon yang bertanding pada peringkat parlimen dalam PRU14, hanya 75 orang calon (10.9 peratus) sahaja daripada kalangan wanita.

Buat masa ini, jumlah ahli parlimen wanita di Malaysia ialah seramai 32 orang iaitu mewakili 14.4 peratus sahaja daripada keseluruhan ahli parlimen.

Keputusan meletakkan calon untuk bertanding di sesuatu kawasan ditentukan oleh kepimpinan parti politik dengan mengambil kira faktor-faktor seperti populasi kaum, latar belakang dan keupayaan untuk calon memenangi kawasan tersebut.

Oleh yang demikian, agenda mengarusperdanakan perwakilan wanita di parlimen seharusnya dimulakan pada peringkat parti politik terlebih dahulu kerana sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dibentuk melalui pakatan atau koalisi parti-parti komponen politik (consociationalism).

Kuota gender

Pengenalan kuota gender oleh parti politik secara sukarela (VPPQ) untuk pemilihan calon pilihan raya adalah satu permulaan yang baik untuk merancakkan lagi partisipasi wanita dalam politik nasional seperti meletakkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan calon PRU daripada kalangan wanita.

Langkah menetapkan kuota ini akan meningkat kebarangkalian untuk lebih ramai wanita memenangi kerusi di parlimen.

Antara negara yang mengadaptasi VPPQ ialah Korea Selatan, Filipina, Thailand, Turki, Perancis dan Jerman.

Dalam pada itu, parti politik juga seharusnya menggalakkan penglibatan wanita untuk bertanding bagi jawatan-jawatan dalam parti dengan tidak lagi menormalisasikan jawatan “ketua” hanya kepada golongan Adam sahaja.

Sebanyak 127 buah negara di peringkat global telah memperkenalkan dasar afirmatif dengan memberikan kuota khusus kepada wanita sama ada dalam bentuk peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negara, perlembagaan parti atau undang-undang pilihan raya.

Merujuk kepada data daripada Institute for Democracy and Electoral Assistance, secara purata negara yang melaksanakan kuota gender sebagai dasar nasional berjaya mencapai sekurang-kurangnya 25-30 peratus perwakilan wanita di dalam parlimen.

Negara-negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam turut menguatkuasakan kuota gender dalam usaha memperkasakan wanita dalam arena politik nasional.

Melihat kepada kepimpinan parti-parti politik di Malaysia, majoriti parti politik lebih bersifat playsafe dan persuasive dalam memberikan tempat kepada wanita sebagai pemimpin dalam parti.

Stigma politik didominasi oleh kaum Adam masih lagi mengakar biarpun dalam ruang lingkup parti politik sendiri.

Kebiasaannya, kedudukan tertinggi wanita ialah sebagai ketua bagi sayap wanita parti politik seperti parti elit tradisional Umno dan parti Islam konservatif PAS.

Struktur yang sama juga seperti dalam Amanah dan Bersatu.

PKR boleh dijadikan benchmark atau model kepada parti-parti lain kerana rekod PKR memperlihatkan wanita menjawat kerusi presiden melalui Dr Wan Azizah Ismail (2003-2018).

Tiga daripada sembilan kerusi naib presiden PKR kini dipegang oleh wanita melalui Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin dan Haniza Mohamed Talha (Wanita) melalui pemilihan yang bebas dan adil.

Kepimpinan DAP pula memperlihatkan wanita memegang jawatan sebagai naib setiausaha agung melalui Teresa Kok.

Bagaimanapun, majoriti kepimpinan pusat atau tertinggi parti-parti politik di Malaysia masih lagi didominasi oleh golongan lelaki.

Intihannya, bagi meningkatkan penglibatan berterusan wanita di parlimen, parti-parti politik yang merupakan pemegang taruh utama perlu terus mengambil perhatian dan melaksanakan strategi terutamanya ketika proses pencalonan dengan menggalakkan lebih ramai calon wanita yang bertanding.

Parti-politik juga bertanggung jawab untuk mengembangkan potensi wanita di peringkat akar umbi melalui program-program pendidikan dan kesedaran yang lebih gender inclusive untuk digilap menjadi pemimpin masa hadapan.


MOHAMAD IKA DANIAL ‘ABDULLAH merupakan mahasiswa tahun akhir ijazah sarjana muda sains politik dan presiden Persatuan Mahasiswa Kuliyyah Ilmu Wahyu Islam & Sains Kemanusiaan (IRKHSSS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menjalani latihan sebagai pelatih penyelidik di Bahagian Penyelidikan, Parlimen Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen