malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Perjalanan Felda mencari untung masih jauh
ADS

SURAT | Saya menulis artikel ini untuk bersetuju dengan sepucuk surat oleh pembaca sebuah penerbitan berbahasa Inggeris yang mendesak Felda untuk bertegas dengan bekas subsidiarinya, FGV Holdings Bhd (FGV).

FGV bukan sahaja merekodkan kerugian berjumlah RM1.08 bilion pada tahun lepas, tetapi syarikat itu gagal memenuhi perjanjian kontraknya terhadap Felda.

Memetik sumber daripada Kertas Putih Felda yang dibentangkan di parlimen, bayaran tahunan sebanyak RM400 juta setahun yang sepatutnya diterima oleh Felda daripada FGV melalui Perjanjian Pajakan Tanah (Land Lease Agreement, LLA) adalah sangat rendah, berbanding RM800 juta yang dianggarkan sebelum penyenaraian (IPO) FGV pada 2012.

Apabila perkara di atas digabungkan dengan kerugian berbilion ringgit, ini seharusnya dilihat sebagai petanda bahawa satu perubahan mendadak perlu dilakukan dalam FGV untuk mengembalikan prestasi cemerlangnya.

Kebetulan pula, satu perubahan seolah-olah akan berlaku dengan pelantikan individu yang tidak asing buat FGV, iaitu Bakke Salleh, sebagai pengerusi baru Felda.

Ada harapan bahawa beliau akan mengembalikan keuntungan terhadap agensi gergasi itu.

Namun, pelantikan beliau juga menimbulkan beberapa isu yang perlu dipertimbangkan, terutamanya apabila kita melihat kembali rekodnya semasa berkhidmat sebagai Pengarah Pengurusan Kumpulan di Felda pada 2005 dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures pada 2009, sebelum meninggalkannya untuk mengetuai Sime Darby pada 2010.

Sebagai seorang eksekutif atasan dalam agensi itu, sudah tentu Bakke memainkan peranan yang penting mengatur strategi FGV. Malah beliau pasti mempunyai peranan dalam membangunkan pelan perniagaan FGV sejak sebelum penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Kembali kemudi Felda

Kita semua tahu apakah yang berlaku kepada Felda dan FGV selepas penyenaraian. Felda mencatatkan kerugian demi kerugian bermula 2013, manakala prestasi FGV terus merosot sehingga ia merekodkan kerugian RM1.08 bilion pada 2018.

FGV gagal merekodkan produktiviti yang tinggi dalam pemprosesan buah tandan segar (BTS), dan ini menjejaskan prestasi syarikat yang merosot tahun demi tahun.

Liabilitinya juga meningkat sebanyak 274 peratus dari 2011 hingga 2017, dan rizab wangnya berkurangan sebanyak 70 peratus dalam tempoh yang sama kerana perbelanjaan yang meningkat.

Pendek kata, segala kerja keras peneroka telah dibazirkan begitu sahaja.

Walaupun sebelum peletakan jawatan Bakke di FGV pada 2010, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa beliau terlibat dalam pelaburan-pelaburan yang meragukan, yang akhirnya menyebabkan kerugian Felda.

Pelaburan-pelaburan itu merangkumi kilang oleokimia di AS hinggalah kilang penapisan rapeseed di Kanada. Ia dikatakan menyebabkan kerugian besar Felda.

Dan sekarang, kita melantiknya kembali untuk mengemudi Felda?

Situasi ekonomi semasa perkhidmatan Bakke di Falde jauh bezanya dengan sekarang.

Ditambah lagi dengan rekodnya yang mencurigakan pada masa itu, adakah wajar untuk kita membawanya kembali? Bukankah terdapat ramai lagi tokoh korporat lain yang mampu mengembalikan Felda ke zaman kegemilangannnya?

Apakah yang kita boleh harapkan daripada Bakke sekarang?

Bahkan pengerusi sebelum ini, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, gagal menaikkan Felda selepas 11 bulan dalam jawatan tersebut. Jadi apa kelainan yang boleh dibawa oleh Bakke?

Beliau sepatutnya menzahirkan rancangannya agar tidak membawa Felda ke kancah kerugian sekali lagi.

Jika Bakke memikirkan RM6.23 bilion yang diperuntukkan dalam Kertas Putih adalah penyelesaian untuk masalah-masalah Felda, beliau silap. Ini adalah kerana kertas itu sendiri terdapat cacat celanya.

Daripada pecahan yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, kebanyakan peruntukan tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan faedah tertunggak, pinjaman jangka pendek Felda, bayaran sara hidup, pembinaan perumahan untuk peneroka generasi kedua dan lain-lain.

Di manakah peruntukan untuk perbelanjaan jangka panjang, seperti penanaman semula kelapa sawit untuk menggantikan pokok yang semakin tua? Ini sepatutnya menjadi keutamaan supaya dalam enam tahun berikutnya, para peneroka boleh mengaut hasilnya dan mendapatkan pendapatan.

Inilah perladangan lestari yang tidak diterangkan secara terperinci dalam kertas itu.

Peneroka sudah hilang keyakinan terhadap Felda, yang berpunca daripada FGV yang tidak cekap dalam melaksanakan kewajipan kontraknya.

Felda sepatutnya kembali ke tujuan asalnya untuk membangunkan kesejahteraan sosioekonomi, dan keputusan agensi itu untuk tidak membayar gaji lembaga pengarah FGV di atas prestasi mereka yang corot adalah petanda bahawa Felda mula mengambil pendirian yang tegas terhadap pengurusan dan pengarah yang tidak berjasa.


HANNAH J ialah anak peneroka yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen