malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Rara perjelas sebab galas tugas ahli lembaga Felda United
ADS

Saya terpanggil untuk memberi tulisan balas terhadap artikel saudari Lenny Azmi di Malaysiakini yang bertajuk 'Exco Felda United, pengurus pasukan PDRM, apa cerita Rara?’.

Saya telah dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak wanita PDRM hanya bagi Kejohanan Piala Tun Sharifah Roziah 2019 selama 4 bulan. 

Selepas tamat kejohanan maka tamatlah tugas saya sebagai pengurus pasukan.

Pada kejohanan kali ini, pasukan Wanita PDRM telah berjaya mendapat tempat ketiga, satu pencapaian yang membanggakan. 

Pemain pasukan wanita PDRM juga telah tampil sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan.

Tiga pemain wanita PDRM telah dipanggil untuk mengikuti latihan pusat bagi mewakili Malaysia di Kejuaraan Wanita AFF 2019 di Chonburi, Thailand pada bulan Ogos 2019.

Pemilihan sebagai pengurus pasukan wanita PDRM ini merupakan salah satu usaha PDRM untuk menepis stigma dan membuka mata masyarakat terhadap pontensi yang dimiliki oleh atlit wanita terutamanya dalam sukan bola sepak.

Bagi diri sendiri saya pula, ini adalah satu pendedahan dan penglibatan kepada sukan bola sepak wanita secara terus yang saya kira sebagai satu pengalaman yang berharga.

Saya melihat bahawa sukan bola sepak wanita mempunyai potensi yang tinggi yang masih tidak digilap. Masih kurang inisitaif untuk membawa suka bola sepak wanita ke tahap yang lebih tinggi.

Perlunya ada usaha untuk meningkatkan pendedahan dan penglibatan dalam sukan bola sepak wanita dengan pengenalan sukan ini dengan menyeluruh di peringkat akar umbi seperti di sekolah.

Sukan bola sepak wanita dan pemain bola sepak wanita dapat dikembangkan dengan menambah jumlah kejohanan sukan bola sepak wanita daripada peringkat bawah hinggalah ke peringkat nasional.

Ini juga dapat mengelakkan pemain bola sepak wanita beralih ke futsal wanita yang berkembang lebih maju. Ditambah dengan promosi yang sewajarnya, tentulah ia dapat membuka mata masyarakat dan kerajaan khususnya tentang potensi sukan ini.

Saya menyokong usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dalam isu campur tangan politik dalam sukan walaupun lebih difokuskan kepada jawatan presiden dan pengerusi persatuan sukan.

Beliau hanya dapat memberi teguran kerana persatuan sukan adalah diluar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan dan mempunyai sistem pemilihan yang tersendiri. 

Isu utama disebalik teguran ini adalah berkisar kepada konflik kepentingan yang melibatkan peruntukan dari kerajaan.

Walaupun melihat kritikan-kritikan yang dilontarkan kepada wakil rakyat kerajaan dan menteri besar kerana masih mengambil jawatan pengerusi atau presiden persatuan bola sepak negeri masing-masing, saya berani menerima lantikan selaku ahli lembaga pengarah kelab Felda United atas beberapa faktor.

Lantikan wanita dalam sesuatu organisasi pengurusan khususnya persatuan sukan perlu dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada golongan wanita.

Walaupun bukan berlatar belakangkan sukan, lantikan wanita seperti saya tentulah membuka ruang dan peluang kepada wanita lain yang akan menggantikan saya di kemudian hari atau di persatuan-persatuan sukan yang lain.

Lantikan ini juga secara tidak langsung memberi kapasiti yang lebih besar kepada saya untuk menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak wanita khususnya dalam kelab Felda United.

Saya masih begitu kerdil untuk diharapkan untuk melakukan perubahan dalam landskap bola sepak wanita negara namun saya berharap dapat membawa sedikit perubahan ke dalam kelab Felda United. 

Saya bertekad untuk mewujudkan kembali pasukan bola sepak wanita kelab Felda United yang terhenti sejak 2017.

Saya, saudari Lenny, ahli politik wanita, atlet wanita, ahli akademik wanita dan wanita keseluruhannya mempunyai fungsi dalam pembangunan dan kebajikan sukan wanita terutamanya sukan bola sepak wanita.

Namun peluang dan ruang tidak selalu datang dan tidak datang bergolek. Saya pasti banyak lagi isu yang melibatkan wanita dan sukan seperti yang ditimbulkan oleh saudari Lenny.

Diharapkan kritikan saudari Lenny membuka mata pembuat-pembuat dasar dari kalangan wanita di luar sana untuk memilih perjuangan mereka.

Memegang jawatan dalam persatuan sukan akan meningkatkan lagi semangat dan usaha saya untuk mempromosikan aktiviti sukan di peringkat akar umbi sebagai wakil rakyat.

Penglibatan dalam persatuan sukan membolehkan saya mendalami masalah akar umbi pengurusan bola sepak serta dasar sukan negara. 

Pengalaman yang akan ditimba akan membolehkan saya mengutarakan idea-idea baru untuk sukan wanita khususnya bola sepak wanita kepada pihak berkenaan pada masa hadapan.

Saya amat menghargai minat tinggi yang ditunjukkan oleh saudari Lenny dalam pembangunan dan kebajikan sukan wanita terutamanya sukan bola sepak wanita.

Sudah tentu pandangan-pandangan ini akan saya ambil kira dalam merangka pelan jangka panjang bola sepak wanita di dalam kelab Felda United.


YOUNG SYEFURA OTHMAN ialah Adun DAP dari Ketari, Pahang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen