Pengiklanan

    Pesan-pesan buat Bersatu Perlis

    (Dikemaskini )

    Dalam ucapan aluan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Muhyiddin Mohd Yassin pada perhimpunan agung khas kelmarin ada menyentuh soal tugas, tanggungjawab, amanah dan integriti.

    Ia selari dengan slogan parti tersebut iaitu Bersatu, Beramanah dan Bermaruah. Hal ini penting supaya dapat membentuk transformasi untuk diterima dan dinilai rakyat.

    Para ahli perlu sedar akan perjuangan mereka, kerana ia bukan sekadar mengambil kesempatan dengan mengisi jawatan dalam parti untuk mengutamakan tembolok dan mengkayakan diri sendiri.

    Dalam ucapan Mahathir juga, beliau berulang kali memesan supaya parti sentiasa menambah ahli kerana apa guna jika menjadi pemimpin tetapi tidak ada pengikut dan para pengikutnya pula jika cekap, mereka berhak menjadi pemimpin.

    Saya kira Dr Mahathir cermat membentuk parti, bukan sekadar di perhimpunan agung khas itu, tetapi sebelum-sebelum ini juga.

    Misalnya ketika Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan Bersatu lalu pun beliau telah menyebut soal yang sama:

    “Kita tidak menang banyak kerusi kerana Bersatu pada ketika itu masih baru, ahli kita tidak cukup ramai, jadi hubungan kita dengan rakyat terhad, tapi kalau ahli parti kita ramai, pengaulan dengan rakyat lebih meluas.

    “Jadi kepada ketua-ketua bahagian, segera tambah ahli kerana tiada makna jadi ketua jika tidak ada pengikut dan saya juga tidak akan menjadi perdana menteri jika calon kita kalah pilihan raya.”

    Pada saya hal ini sangatlah dipandang serius oleh beliau, namun ironi sedikit berbeza di Perlis.

    Saya ingin kongsikan sedikit cerita di meja Syawal ketika di satu majlis rumah terbuka sebuah parti politik di Perlis beberapa minggu lalu.

    Tentera bawang di meja saya begitu ampuh menyerang sebuah bahagian parti Bersatu di Perlis.

    Saya pasang telinga dengan cermat, orang yang sama kata mereka; setiasausaha kerja di satu bahagian dalam Perlis.

    Akibat kerja-kerja penipuan tersebutlah terlengsernya seorang ketua bahagian. Kata mereka sejumlah hampir RM10,000 dan sudah lebih lima bulan sejak invois tersebut dikeluarkan September 2018 hingga sekarang belum dilangsaikan.

    Mata saya mengintai gambar invois yang terpapar di cermin telefon bimbit berjenama Samsung di meja sebelah saya.

    Hingga kini orang tersebut masih bebas dan bergerak aktif, ahli-ahli Bersatu di peringkat akar umbi khabarnya tidak senang akan tindak tanduknya.

    Saya amati tiap patah bicara mereka, katanya selagi ada penyagak seperti orang tersebut, agak sukar para jentera parti mahu bergerak dengan lebih proaktif kerana ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.

    Tambah mereka, orang tersebut menipu pembekal percetakan dan banyak hal lain lagi yang dia tipu, saya cermati kata-kata dan keluhan mereka kerana menurut mereka, orang tersebut seolah-olah dilindungi pucuk pimpinan negeri. Benarkah?

    Saya terfikir, jika hal ini benar dan sedang berlaku. Bagaimana mahu tambah ahli jika ada pimpinan bahagian perangai serupa ‘kawaq?’

    Belum sempat orang mahu isi borang ahli, terkantoi seribu perangai penyagaknya.

    Ironinya, apa benar pesanan Mahathir itu relevan? Kasihan beliau, pesanan yang berulang seperti tidak diendahkan langsung.

    Aidilfitri dan majlis rumah terbuka parti adalah medan mengantoikan orang politik. Setuju atau tidak, itulah realitinya.




    NUR AMIRAH RAZALI ialah seorang pemerhati politik tempatan yang berkhidmat di sebuah universiti swasta.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih