Pengiklanan

    'Khaled kena belajar jadi pembangkang berwibawa'


    (Dikemaskini )

    Tohmahan Mohamed Khaled Nordin bahawa kerajaan Johor tidak serius mempromosi negeri berkenaan sempena Tahun Melawat Johor 2020 merupakan dakwaan yang dangkal lagi terpesong.

    Mungkin Khaled masih lagi berada dalam keadaan delusi setelah Umno/BN Johor di bawah kepimpinannya tumbang dalam PRU ke-14 lalu.

    Sebagai bekas menteri besar Johor, Khaled seharusnya lebih matang mengeluarkan sebarang kenyataan. Apa lagi dalam keadaan kita sedang meniti detik-detik terakhir Ramadhan yang mulia ini.

    Masakan Khaled tidak mempunyai orang kiri dan kanan untuk melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum berkata-kata.

    Kecualilah beliau sememangnya mempunyai kesumat untuk membuat tohmahan terhadap kerajaan negeri yang ditunjangi PH ketika ini.

    Hal ini adalah kerana pada 1 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung, memberikan penjelasan mengenai perancangan dan usaha kerajaan negeri untuk mempromosi Tahun Melawat Johor 2020 seperti yang dilaporkan oleh media.

    Malahan, pada 2 Jun Pengarah Tourism Johor juga memperincikan beberapa pendekatan diambil oleh kerajaan negeri melalui Tourism Johor. Ia juga dilaporkan beberapa akhbar.

    Antaranya adalah:

    1. Mengadakan bengkel persediaan kempen Tahun Melawat Johor 2020 pada 15 April yang lalu untuk mengumpul input daripada pemain dan pasaran pelancongan dalam Johor.
    2. Pertandingan mencipta logo, maskot dan fotografi bersempena dianjurkan sehingga 30 April 2019.
    3. Pengiklanan Tahun Melawat Johor 2020 akan dilakukan menerusi sewaan panel pengiklanan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan KLIA2 selain bas-bas awam.
    4. Penghasilan cenderahati bersempena Tahun Melawat Johor 2020 yang beridentitikan Johor.
    5. Penyampaian pelbagai informasi berhubung kempen kesedaran kepada masyarakat tempatan.
    6. Mengadakan siri kursus dan latihan seperti kursus We Are The Host dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia negeri untuk pemandu pelancong supaya lebih berpengetahuan; kursus Pengesahan Pemandu Pelancong; Continuing Tourism Related Education dan lain-lain.
    7. Memperincikan 20 destinasi terpilih dengan produk pelancongan unik di semua 10 daerah dalam Johor dengan bantuan pejabat-pejabat daerah.
    8. Memperincikan perancangan 20 acara pelancongan bertaraf domestik dan antarabangsa, termasuk sukan dan pendidikan, memperbesarkan saiz penganjuran acara sedia ada, selain memperkenalkan acara baru.
    9. Penganjuran MBJB Colour Run pada 6 Julai bersempena Tahun Melawat Johor dan Sukma 2020.

    Ia adalah sebahagian daripada usaha dan perancangan kerajaan Johor untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 yang dilaporkan oleh pelbagai media sebelum ini.

    Amat menghairankan dan tidak masuk akal dalam zaman maklumat di hujung jari ketika ini, Khaled boleh terlepas pandang.

    Melainkan Khaled Nordin sekadar mahu menipu dirinya sendiri dengan mengeluarkan tohmahan sedemikian rupa.

    Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Khaled agar belajarlah untuk menjadi pembangkang yang berwibawa, bukan pembangkang semberono.

    Jika tidak mampu untuk belajar dengan sekutu baru kamu itu, saya sudi menawarkan kelas tusyen percuma untuk belajar menjadi pembangkang yang berwibawa.

    Kepada seluruh anak bangsa Johor yang lain, ayuh bersama-sama mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan unik dan pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.


    AHMAD ANWAR ASYRAF ISMAIL ialah pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih