malaysiakini logo
story-image
ADS

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah mengemukakan 18 daripada 41 isu berkenaan masalah di bidang pendidikan termasuk beban guru sudah diselesaikan oleh pasukan Kementerian Pendidikan.

Antara isu yang berjaya diselesaikan ialah isu pentaksiran berasaskan sekolah. Enam bulan yang lepas Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Amir Senin telah mengumumkan tiada lagi peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bermula tahun 2019.

Sebagai seorang guru, seorang pelajar yang menjadi manusia yang elok tingkah laku, lebih saya gemari daripada cemerlang di dalam pelajaran. Jika cemerlang di dalam pelajaran, itu adalah mata tambah bagi pelajar tersebut.

Jika seawal usia tujuh tahun sudah pandai menggunakan kata-kata yang tidak sopan, kurang bertolak-ansur, tiada sifat belas ini amat membimbangkan saya.

Dalam 20 atau 30 tahun lagi, jiwa-jiwa kecil inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Ngeri saya bayangkan susuk tubuh yang kurang halus tutur katanya, kasar dalam tindak-tanduk, kering kontang nilai manusiawi ini yang akan mentadbir negara suatu hari nanti.

Ini adalah hasil kitaran jahat (vicious cycle). Kitaran yang memberi tekanan kepada pelajar di awal usia tujuh tahun untuk skor A di dalam peperiksaan, lancar ketika membaca dan handal menggunakan operasi matematik.

Sudahlah ditekan kemudian dibanding-bandingkan pula keputusan peperiksaan dengan rakan-rakan atau saudara mara yang lain.

Perkembangan pelajar

Tidak mustahil akan bertambah lagi bilangan rakyat Malaysia yang akan mengalami masalah kesihatan mental.

Ada sebahagian ibu bapa yang melahirkan kerisauan mereka, jika tiada peperiksaan, bagaimana hendak menilai prestasi perkembangan anak-anak?

Jangan bimbang, pemansuhan peperikasaan tahap 1 ini hanya memansuhkan penilaian keseluruhan pembelajaran atau ujian sumatif.

Ujian formatif masih lagi berjalan seperti biasa.

Penilaian tidak semestinya berdasarkan dalam bentuk penulisan. Perkembangan pelajar boleh dinilai dengan melakukan aktiviti yang melibatkan aspek fizik, psiko motor, sosial, bahasa dan spiritual.

Melalui pelaksanaan ini, ibu bapa dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan anak mereka. Dari situ, ibu bapa boleh merancang bentuk sokongan dan bantuan yang boleh diberikan kepada anak.

Secara tidak langsung, ibu bapa dapat melihat pencapaian kognitif, afektif dan psikomotor anak sepanjang sesi persekolah berjalan. Kini tiada lagi simbol-simbol abjad dan nombor yang akan dipersembahkan ketika sesi perbincangan dan perjumpaan ibu bapa dan guru.

Sekarang tibalah masa untuk ibu bapa memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah dan pembentukan peribadi anak bermula dari kecil.

Jika selama ini kita berdegar-degar mahu mengikut jejak langkah negara-negara minda kelas pertama seperti Finland dan Jepun, ayuh kita mulakan dengan dunia pendidikan.

Kita mulakan dengan mendidik anak-anak dengan menjaga kebersihan, disiplin dan kesopanan. Tiada gunanya jika punya ilmu seluas lautan, wang berbukit tetapi miskin adab dan tak sopan.

Saya memetik kata-kata penulis Buya Hamka, di dalam sebuah buku terkenal beliau, Peribadi, “Berilmu sahaja, walau bagaimana mahirnya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu akan beroleh kejayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan peribadi yang lain tidak lengkap atau tidak kuat, terutamanya budi dan akhlak!”

Ini adalah langkah berani mati yang diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk menghapuskan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan.

Semoga anak-anak generasi zaman yang semakin mencabar ini membesar dengan budi perketi yang luhur, sarat dengan nilai kasih-sayang, bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati.


NURUL ATIQAH AMANINA adalah seorang pendidik di sebuah sekolah swasta, dan juga seorang pelajar separuh masa di Universiti Islam Antarabangsa.

Lihat Komen