malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Surat
Kukuhkan pendidikan Islam, moral dan kewarganegaraan global
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang berupakan kebimbangan terhadap polemik perpaduan dan kurangnya kefahaman tentang sensitiviti antara agama dan komuniti di negara ini.

Abim merasakan sudah sampai masanya kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Kewarganegaraan Global (dalam Elemen Merentas Kurikulum (EMK)) menerima anjakan baharu agar masyarakat Malaysia tidak terpesong dan terjerumus ke dalam gejala ekstremisme.

Abim melahirkan kebimbangan terhadap membarahnya ekstremisme ke dalam bentuk irhab al fikr (terrorisme pemikiran) - yang sifatnya mendera, menyakiti dan menghukum pemikiran mereka yang berbeza pandangan dengan kelompoknya walaupun perbezaan tersebut masih berada dalam batas yang dibenarkan syara’.

Gejala ini akan menyemarakkan lagi polarisasi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Abim berpandangan untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi masyarakat yang mendesak, pendekatan pedagogi pendidikan secara umumnya perlu memberi penekanan penguasaan pelbagai nilai kemahiran aras tinggi seperti pemikiran kreatif dan kritikal, kemahiran berkolaboratif, bekerjasama, kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, kemahiran mengurus emosi, kemahiran bersosial dan sepertinya.

Pembinaan watak dan kemahiran ini amat penting untuk merungkai pelbagai polemik yang membelenggu perkembangan sosio-ekonomi umat.

Abim berpandangan bahawa mempelajari asas pelbagai agama dan budaya, terutama di peringkat Asia Tenggara mampu membentuk kefahaman dan toleransi, serta memaknakan nilai rahmatan Lil alamin.

Abim sekali lagi menegaskan kesan daripada sentimen kebencian yang berakarkan ekstremisme dan sikap ghuluw ini akan hanya mengakibatkan masyarakat kita terus ketinggalan lantaran gagal memanfaatkan peluang untuk bangkit sebagai menjadi bangsa Malaysia yang dihormati.

Justeru anjakan baharu dalam memperkukuh kefahaman Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Kewarganegaraan Global amat perlu sebagai jalan terbaik mencari titik penyelesaian kepada kebimbangan ini.


MOHAMAD RAIMI AB RAHIM ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

Lihat Komen