malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam politik, istilah cendawan yang tumbuh selepas hujan ini banyak merujuk kepada sikap dan tindak tanduk seseorang yang mula menonjolkan diri setelah sesebuah parti itu menang.

Ketika orang lain sedang menebang semak samun, berpenat lelah mencuci kawasan, manusia cendawan ini berdiam diri daripada turut bekerja.

Bahkan lebih teruk ada yang mengambil sikap menjarakkan diri, bimbang terpercik lumpur dan selut ketika kumpulan lain sedang bertungkus-lumus mencapai kemenangan dalam PRU yang lalu.

Apabila sudah menang, manusia cendawan ini mula tumbuh dan mengambil kesempatan menonjolkan diri di atas hasil usaha orang lain.

Begitu juga spesis kelkatu yang mengerumuni lampu. Manusia kelkatu ini sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berkelabut dan berserabut di sekeliling menteri-menteri.

Ada yang bertindak selaku ketua rombongan, menggunakan hubungan peribadi dan hubungan dalam parti dengan menteri untuk mengatur pertemuan demi melobi jawatan dan projek.

Ada juga manusia kelkatu yang berevolusi daripada manusia cendawan, mengerumuni menteri demi meminta permohonan dan peruntukan diluluskan. Atau lebih teruk menuntut diberikan projek atau kelebihan demi meraih untung peribadi dengan alasan mahu menyumbang kewangan kepada parti.

Kepada para menteri

Manusia cendawan dan manusia kelkatu ini ada di mana-mana tidak kira dalam parti apa, dan kita sukar untuk menghalang kewujudan mereka.

Sementara itu para menteri kita wajib mendokong semangat 'Malaysia Baru' dengan menjauhkan diri daripada amalan lobi dan rasuah, apatah lagi untuk menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan pihak tertentu sehingga mengabaikan kepentingan rakyat terbanyak.

Oleh sebab itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu meluahkan rasa bencinya kepada golongan manusia kelkatu ini.

Ia disusuli pula oleh timbalannya Salahuddin Ayub yang turut meluahkan rasa rimasnya apabila beliau selaku menteri pertanian dan industri asas tani turut dikerumuni golongan kelkatu pelobi projek dan pemohon AP.

Mereka meminta diberi jalan pintas dan ruang istimewa atas alasan orang parti.

Tolak DNA BN

Dalam hal ini, kita para pendukung dan pejuang parti harus turut sama berasa benci dan rimas dengan golongan cendawan dan kelkatu sebegini.

Kelibat golongan yang suka menangguk di air keruh dan timbul di air yang tohor ini hanya merencatkan proses pembinaan semula negara, sekaligus memarakkan semula api kemusnahan akibat rejim kleptokrasi BN selama ini.

Kita tidak menolak projek dan pembangunan, tetapi biarlah ia melalui proses dan lunas peraturan yang ditetapkan.

Saya yakin, masih ramai pejuang parti yang gagah dan kuat melaksanakan agenda pengislahan negara, dan semestinya kalian pun turut benci dan rimas dengan spesis manusia cendawan dan kelkatu yang mempunyai DNA BN ini.

Syabas Salahuddin Ayub kerana berani memelihara integriti dan amanah negara dan Mohamad Sabu kerana dari awal menunjukkan teladan yang baik buat semua pemikul amanah negara.


MUHAMMAD ARIFF BASHIRUDDIN MUHAMMAD RUSLI ialah pengarah komunikasi pemuda Amanah Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


    Lihat Komen