malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam Kertas Konsultansi Rakyat, saya tertarik dengan satu kenyataan:

“Setiap kekurangan RM70 Juta juga akan menyebabkan 10,000 orang pemohon baharu tidak mendapat pinjaman. Ini bermakna setiap RM7,000 yang tidak dibayar akan menyebabkan seorang pemohon baharu dinafikan hak mendapat pinjaman. Contohnya, seorang peminjam dengan pinjaman RM21,000 tidak membayar balik, akan menyebabkan tiga (3) orang pemohon baharu tidak mendapat pinjaman.”

Jadi siapa peduli jika anak atau adik kita adalah salah seorang daripada tiga orang yang tidak mendapat pinjaman gara-gara seorang peminjam yang tidak membayar balik?

Maka usah ambil tahu dan teruslah istiqamah melawan; ini bukan tentang mansuh atau tunaikan manisfesto atau bukan siapa yang teraniaya atau akan terlepas peluang belajar tetapi ini soal untung nasib dan kepentingan diri sendiri.

Jika Wan Saiful Wan Jan dipecat pun, realitinya untuk saat sekarang setiap RM21,000 tidak dibayar balik akan mengakibatkan tiga orang pemohon baru tidak mendapat pinjaman.

Dan ini akan terus dan terus meningkat jika kadar bayaran balik terus perlahan. Jadi, untuk apa memikirkan orang lain. Lebih baik fikir perut kita sendiri.

Namun inilah cabaran paling hebat kepada Wan Saiful untuk menangani dan mencari solusi. Walaupun ia bukan langkah popular dan masih belum dimansuhkan, namun beliau tidak seharusnya dibiar keseorangan dalam menangani isu PTPTN kerana setiap perjalanan dalam ke arah pembayaran balik tersebut saling bergantungan kepada semua pihak.

Jika seorang peminjam tidak mampu membayar kerana kegagalan mendapatkan kerja? Adakah ini salah satu faktor kegagalan tunggal PTPTN?

Apa guna ada Kementerian Sumber Manusia? Seharusnya entiti tersebut lebih bertanggungjawab dalam membantu PTPTN dengan cara membuka peluang pekerjaan sebanyak-banyaknya kepada para graduan supaya mereka dapat memiliki pekerjaan seterusnya dapat membuat bayaran balik PTPTN.

Selain Kementerian Sumber Manusia yang ada hubung kait dalam pembangunan kerjaya untuk merangsangkan pembayaran balik PTPTN, Kementerian Belia dan Sukan juga adalah satu entiti yang paling besar pengaruhnya.

Seharusnya mereka mencari satu mekanisme bersama bagi membantu para golongan belia mengatasi masalah pengangguran dan mencari satu cara bayaran balik PTPTN dengan cara tidak membebankan peminjam.

Namun ada sesetengah daripada mereka suka berlagak hero dan begitulah hakikatnya menjadi politikus; mencari publisiti dengan menangguk di air yang keruh.

Mudah sahaja untuk menjadi selebriti politik, ketika memuncak sesuatu isu. Kamu bikin sebuah video menggunakan prop seekor kucing dan mengeluarkan sedikit kenyataan acah-acah pembela golongan belia sejagat.

Kamu tidak tahu sebenarnya kelaku kamu itu sangat melucukan, sangat kebudak-budakan. Orang ramai tahu kamu orang nombor satu di kementerian belia.

Apa yang orang mahu lihat adalah bagaimana kamu mengeluarkan satu gagasan idea untuk membantu pihak PTPTN dalam menangani kemelut yang sedang dihadapi ini tambahan pula ia melibatkan golongan belia.

Tambahan pula sebelum Kertas Konsultansi Rakyat dibentang dan didedahkan kepada umum ia telah dibawa ke kabinet serta tokoh-tokoh politik yang lain? Maka mencari populariti politik biarlah dengan secara matang seperti menjuarai isu-isu berbangkit dengan cadangan atau solusi yang boleh digerakkan bersama

Untuk apa kita semua harus bersikap terburu-buru dan menonong dalam membuat kenyataan jika kita boleh bersikap tenang? Bukankah ‘tenang is good?’

Selain tidak terbawa-bawa ke kancah peperangan emosi, sekurang-kurangnya kita tidaklah menunjuk sikap tidak matang kita di khalayak umum dengan tindakan-tindakan yang kebudak-budakan.

Bahkan sejak akhir-akhir ini dengan media bebas dan maklumat yang pantas, semakin ramai tidak mampu untuk cuba menenangkan diri daripada mudah meluap-luap seperti sebuah gunung berapi yang amarah, alangkah bagus jika kita mengambil pendekatan baca, semak dan imbang dengan cerap dan kaji sebelum cakap dan keji.

Kepada selebriti politik, harap dapatlah mencari sesuatu pembawakan yang lebih matang dari umur dalam mendepani isu dan populariti di media sosial.


JAMAL NASIR ialah pembaca setia Malaysiakini yang suka memerhati dunia politik Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen