malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemimpin yang mempunyai kecintaan kepada kuasa dan masalah ego sehingga pernah tidak mahu meletakkan jawatan sebagai presiden Umno walaupun menang dengan satu undi pada tahun 1987 kini menyifatkan bahawa matrikulasi adalah suatu “pintu belakang” kepada orang Melayu untuk masuk ke universiti.

Hakikatnya, program matrikulasi yang telah ditubuh dan dicanang oleh dirinya sendiri sekitar tahun 1999 adalah suatu laluan alternatif kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) suatu ketika dahulu.

Tambahan pula, pada ketika itu sejumlah besar masyarakat Melayu adalah tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan asrama dan sokongan kemudahan khas.

Selanjutnya, saya berpendapat bahawa adalah sesuatu yang tidak wajar untuk menyatakan bahawa matrikulasi ini adalah suatu “pintu belakang” untuk orang Melayu masuk ke universiti kerana pelajar-pelajar yang masuk ke matrikulasi bukan calang-calang keputusan akademiknya.

Dr Mahathir Mohamad sejak muda memang terkenal dengan ungkapan bahawa Melayu itu adalah bangsa yang malas, atau lazy atau berat tulang, mengikut pepatah Melayu.

Kenyataan bahawa matrikulasi sebagai jalan “pintu belakang” ini secara tersiratnya adalah suatu mesej daripada beliau bahawa Melayu itu malas atau tidak kompeten serta wajib mendapat bantuan daripada kerajaan jika ingin berjaya.

Ya, Melayu malas! Seperti yang biasa dicanangkan dan disuarakan (mungkin dipersendakan) oleh Mahathir yang beliau bilang sebagai suatu kebenaran. Ini adalah imej yang Mahathir sering mainkan.

Saya bukanlah seorang pemimpin atau ahli politik berpengalaman seperti Mahathir, tetapi alhamdulillah, kehidupan dan pengalaman kerdil saya sebagai anak seorang buruh kilang serta budak flat telah mengajar saya untuk memerhati dan menilai sesuatu menggunakan hati serta disokong dengan akal budi.

Hakikatnya, Melayu sebenarnya tidak malas. Saya berpeluang melihat bagaimana ibu dan bapa kepada anak-anak Melayu berhempas-pulas dan membanting tulang bekerja sebagai buruh kilang seperti robot sehingga ada yang bekerja selama 12 jam sehari demi menyara anak-anak.

Saya juga berpeluang melihat bapa saya sendiri yang merupakan seorang buruh kilang berhempas-pulas membesarkan kami sekeluarga. Dalam masa yang sama, ibu saya juga mengambil upah menjadi seorang pengasuh kanak-kanak serta mengusahakan kedai runcit di siang hari.

Saya berpeluang melihat bagaimana bapa kepada anak Melayu bekerja sebagai pengawal keselamatan dari hari Isnin sehingga Jumaat dan bekerja pula sebagai nelayan di hujung minggu bagi menyara anak-anak.

Saya sendiri ketika cuti sekolah (ketika bersekolah dulu) pernah bekerja sebagai buruh kilang, penjaga stor di 99 Speedmart, juruwang di beberapa stesen minyak dan saya berpeluang melihat berbondong-bondong anak Melayu yang bekerja di McDonald, KFC, Pizza Hut, Texas Chicken, dan banyak lagi.

Sejujurnya, saya ada nampak anak Melayu yang tidak bekerja dan tidak belajar tetapi dalam masa yang sama saya juga berpeluang melihat sendiri dan berkenalan dengan berpuluh-puluh anak bukan Melayu yang tidak bekerja dan tidak belajar.

Justeru, menyatakan bahawa matrikulasi merupakan laluan “pintu belakang” untuk anak Melayu masuk ke universiti adalah suatu bentuk penghinaan dan tindakan merendah-rendahkan keupayaan anak Melayu.

Mahathir telah meletakkan suatu keadaan yang menunjukkan bahawa matrikulasi ini adalah suatu perancangan yang sorok-sorok dan tidak adil apabila menyatakan bahawa ia adalah “pintu belakang”.

Mahathir seperti biasa telah menumpahkan khayalannya secara semberono ke atas daya usaha dan kemampuan anak Melayu. Kemudian, menyatakan ungkapan biasa seperti “saya tahu sebab saya yang memperjuangkan Melayu sehingga digelar Ultra Melayu."

Saya berpendapat bahawa tidak manis untuk melihat bahawa program matrikulasi sebagai satu “pintu belakang” untuk anak Melayu ke menara gading memandangkan ia adalah salah satu program bagi memastikan keadilan sosial tercapai.

Ia adalah dasar yang sah, adil dan mempunyai niat bona fide bagi memastikan keseimbangan dalam masyarakat Melayu dan bukan Melayu dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Justeru, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada perdana menteri tertua di dunia itu kerana tidak dapat bersetuju dengan beliau bahawa matrikulasi adalah laluan “pintu belakang” untuk anak Melayu. Dengan rasa hormat, saya melihat bahawa kenyataan Mahathir adalah tidak betul, salah, dan bersifat menghina.


KHAIRUL NAIM RAFIDI adalah seorang peguam muda di sebuah firma guaman di Selangor. Beliau boleh dihubungi di laman fb Khairul Naim Rafidi atau emel [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen