malaysiakini logo
story-image
ADS

Sekali lagi kerajaan Pakatan Harapan dan pakatan pembangkang berdepan dengan cabaran meraih keyakinan rakyat dalam pilihan raya kecil di Sandakan.

Ini selepas berlalunya tujuh siri pilihan raya kecil (PRK) yang empat daripadanya berjaya dipertahankan oleh PH manakala tiga oleh BN.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru. Dua daripada pihak kerajaan dan pembangkang, tiga lagi calon bebas. Berdasarkan pemerhatian, daripada lima calon hanya tiga yang mampu memberi saingan manakala dua orang calon bebas bakal hilang deposit.

Kiraan ini berdasarkan keputusan PRU14 di parlimen Sabah yang bilangan undi tertinggi berjaya diraih oleh calon bebas adalah sebanyak 447 undi di P180 Keningau. Trend undian ke atas calon bebas sentiasa sama. Pengundi tidak akan memilih calon yang tidak mampu deliver dan manifesto sahaja tidak boleh dijadikan ukuran kerana kekuatan parti akan menjadi pilihan utama.

Daripada segi kempen, calon DAP, PBS dan calon bebas Hamzah Abdullah lebih sengit bersaing berbanding dua calon bebas yang lain.

Calon-calon yang bertanding

Kempen DAP lebih menyerlah mengatasi calon lain cuma kali ini pendekatan DAP tidak ubah seperti BN apabila mengaplikasikan taktik "politik projek" seperti yang dilakukan oleh BN sebelum ini. Bermacam projek pembangunan diumumkan oleh PH demi meraih kemenangan walaupun hakikatnya mereka tidak perlu mengambil pendekatan sedemikian kerana PH berada dalam kedudukan yang menguntungkan, dalam bahasa mudahnya, PH pasti menang. PH menang dengan majoriti 10,098 undi di P186 Sandakan pada PRU 14.

Mungkin kerana keghairahan berdepan PRK buat pertama kali di Sabah menyebabkan PH all out dan secara tidak langsung memberi mesej tersirat sekiranya tidak ada PRK, maka tidak ada pembangunan di Sandakan. Taktik ini sememangnya akan menambat hati pengundi yang mahukan pembangunan kecuali mereka yang termakan hasutan "kencing PH".

Calon PBS pun tidak kurang hebatnya cuma tiada harapan yang boleh disandarkan kerana ketika beliau menyandang jawatan ahli parlimen P185 Batu Sapi, isu jalan raya Batu Sapi masih tidak selesai walaupun sudah dua penggal duduk di Dewan Rakyat. Namun begitu, pengundi masih akan mengundi PBS terutamanya mereka yang berpihak kepada pembangkang termasuk penyokong PAS.

Tatkala BN dan PH bertembung pada PRU14, PAS mengambil pendirian menjadi blok ketiga bersama rakan pakatannya. Kali ini agak menarik apabila PAS menyatakan sokongan kepada PBS demi kepentingan pribumi Sabah. Adakah undi daripada penyokong PAS dapat membawa perubahan kepada bilangan undi PBS? Seruan Presiden PAS itu pastinya akan disambut oleh ahli dan penyokong PAS tetapi bagaimana pula dengan calon bukan Muslim yang diketengahkan oleh PBS?

Meskipun ahli perlu menurut seruan presiden, mereka sudah tentu ada pilihan peribadi. Sekiranya mereka memilih untuk mengundi calon Muslim, hanya dua orang calon bebas yang boleh diundi atau mereka akan berkecuali dalam PRK kali dan ini membelakangi seruan presiden.

Kempen calon bebas Hamzah Abdullah berjaya mengatasi calon bebas yang lain dan mampu memberi saingan sengit kepada DAP dan PBS. Cuma kali ini daripada segi kekuatan jentera kempen, beliau berada di posisi yang tidak menguntungkan. Hanya pengundi yang celik dan kenal serta tahu track record Hamzah berkhidmat kepada warga Sandakan akan memilih beliau sebagai wakil mereka di parlimen.

Tidak kurang juga perkembangan terkini menjadi penyeri kemeriahan PRK Sandakan apabila bekas ADUN N46 Tanjong Papat menyertai Warisan. Gimik melompat parti secara tidak langsung menaikkan populariti parti yang disertai apatah lagi pada musim berkempen.

Sebenarnya, tidak ada yang perlu dihairankan kerana politik Sabah sentiasa meriah dengan ahli politik yang melompat ke sana sini demi kelangsungan politik.

Akhir kata, penduduk Sandakan masih ada seminggu lagi untuk fikir masak-masak sebelum memilih ahli parlimen mereka.

Adakah PH berjaya mempertahankan kerusi P186 Sandakan atau BN akan menyambung rentak kemenangan PRK sebelum ini dan merampas kerusi P186 Sandakan, atau warga Sandakan mengambil nafas baharu dengan memilih calon bebas? Sama-sama kita nantikan pada 11 Mei nanti.




FIRDANI ADAM adalah pengundi di P186 Sandakan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen