malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Mengekang benih ekstremisme ditanam di sekolah
ADS

Baru-baru ini, anak saya yang berada di sebuah sekolah menengah di Selangor memberitahu, dia tidak bersetuju tentang satu diajar ustazahnya.

Menurut anak saya itu, ustazahnya menegaskan bahawa menurut Islam seorang penzina harus direjam sehingga mati.

Anak saya yang masih belasan tahun itu berkata, hal berkenaan tidak mungkin kerana Tuhan bukannya kejam begitu.

Ustazah terbabit kemudian memarahi dia di depan kelas dan berkata, hukuman tersebut sudah difirmankan Allah SWT.

Sebagai seorang Muslim, katanya, dia mesti percaya atau akan murtad.

Anak saya kemudian meminta bukti yang itu adalah firman Allah. Lantas ustazah terbabit memarahi dia dan menyuruhnya membaca al-Quran.

Kejadian itu mengakibatkan seluruh kelas berpaling melihat anak saya dan kemudian menyebabkan wujud konflik dengan rakan-rakan sekelasnya.

Sebagai seorang bapa, saya sangat prihatin tentang perkara ini.

Quran itu firman Tuhan

Apakah jenis sistem sekolah kebangsaan yang memberitahu pelajar belasan tahun bahawa ia adalah firman Allah untuk merejam seseorang sehingga mati bagi kesalahan zina dan ia tidak boleh dipersoalkan sama sekali?

Itu adalah pandangan ekstremis.

Apakah jenis warganegara yang kita akan hasilkan dengan pandangan seperti itu apabila ia diajar di sekolah-sekolah kebangsaan?

Adakah kita mahu melahirkan seorang warganegara yang mencintai kedamaian, atau seseorang yang keras dan suka menghakimi serta menghukum orang lain?

Sebagai Muslim, saya telah membaca suci al- Quran dan tidak ada apa-apa dalam kitab itu yang mengatakan seseorang penzina - atau sesiapa saja - harus direjam sehingga mati.

Dan semestinya umat Islam percaya al-Quran ialah firman Allah.

Seseorang ustazah - sebagai guru agama - memegang autoriti di sekolah. Apa yang diajarnya amat mempengaruhi pelajar yang mungkin belum matang, dan untuk mempercayai bahawa merejam seorang penzina sampai mati ialah tuntutan agama dan ia tidak boleh disoal sama sekali adalah pendirian yang tidak betul.

Pada pandangan saya, menggunakan nama Tuhan untuk menghukum dan mendiamkan sebarang pertanyaan adalah sikap tidak bertanggungjawab ketika perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Islam dirasikan.

Malangnya, kebanyakan umat Islam di Malaysia pada masa kini kurang membaca dan menyelidik. Mereka hanya percaya apa saja yang disuruh dan diajar oleh para agamawan.

Gambar hiasan

Pada masa sama tiada langsung ruang untuk perbincangan atau membawa pendapat yang berbeza.

Saya pasti kes anak saya bukanlah kejadian terpencil. Ia sebenarnya mencerminkan perubahan dalam masyarakat Muslim dengan tafsiran agama kian keras dan tidak memberikan ruang toleransi.

Harapan buat PM, menteri

Sesiapa yang tidak mengikuti tafsiran majoriti senang disisihkan dan dilabel sebagai liberal atau kafir. Semua orang akan bebas untuk membuat komen walaupun berunsur ganas. Misalnya menghalalkan darah pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.

Perkara ini lazim dilihat dalam media sosial apabila sesiapa yang dilabel sebagai Muslim liberal diserang bertubi-tubi dengan perkataan maki-makian, malah diugut bunuh.

Tuan-tuan, apakah kerajaan yang dibangunkan atas sistem demokrasi berparliman boleh lakukan bagi menghentikan kecenderungan berbahaya dalam masyarakat majmuk ini?

Sekiranya ia tidak dihentikan segera, ia akan menjadi bibit-bibit ekstremis dan boleh merebak menjadi punca keganasan pada masa depan.

Bukankah Islam itu agama yang indah, damai dan penuh kasih sayang? Adakah selama ini kita hanya mengucap bismillahirahmanirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang) pada setiap kali permulaan surah dalam al-Quran serta dalam solat tanpa memahami atau menghayati maksudnya?

Mengapakah kepercayaan agama menjadi begitu sempit sehingga seseorang boleh disisih, dicerca dan dimaki-hamun hanya memegang membawa pandangan yang berbeza daripada majoriti?

Di manakah agama yang lembut, penyayang dan terbuka yang menyatakan bahawa setiap orang adalah sama di sisi Allah kecuali dibezakan oleh amalan dan ketakwaannya?

Sebagai warganegara Malaysia tercinta ini, saya mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk melakukan sesuatu bagi menghentikan kecenderungan berbahaya ini.

Lebih membimbangkan, ia bermula dalam sistem pendidikan kita.


ABDUL RAHMAN ialah pembaca Malaysiakini yang cintakan kedamaian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen