malaysiakini logo
story-image
ADS

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya tentang hubungan antara Muslim dengan bukan Muslim menulis bahawa berbakti kepada bukan Muslim bukan undang-undang ciptaan manusia yang boleh dilaksana atau dimansuh sesuka hati. Ia adalah undang-undang illahi dan aplikasinya menjadi ibadat kepada orang Islam.

Jika melihat dalam konteks ajaran agama Islam sendiri dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah berkata:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk yang berpegang teguh kepada asas-asas perlembagaan negara, kita harus sedar walau apa jua agama yang kita anuti dan fahaman apa yang kita percaya, prinsip keadilan dan hormat-menghormati haruslah menjadi tunjang kepada kekuatan hidup bersama. Setiap manusia wajar dihormati sebagaimana mereka layak dihormati, berlaku adil selagi ia tidak mengancam keharmonian dan berbakti kepada semua demi kesejahteraan.

Punca utama yang menyebabkan perpecahan hingga berlakunya keganasan adalah fanatisme. Saya suka melihat dari sudut ini kerana dalam sebuah tulisan Wan Saiful Wan Jan berkata:

“Fanatisme boleh wujud dalam mana-mana kelompok jika para pengikutnya tidak dibentuk untuk menganggap bahawa persaingan sebagai amalam kebaikan.”

Barangkali ada benar. Sebagai contoh terdekat, tragedi Jumaat pilu di New Zealand masih segar di ingatan kita dan kesedihannya masih memeluk erat para warga dunia. Namun sekali lagi kita digemparkan dengan siri pengeboman di beberapa buah gereja dan hotel ketika sambutan Hari Easter sedang berlangsung di Seri Langka pada 21 April 2019 baru-baru ini. Kita sedia maklum jika melihat dari model serangan tersebut ia tidak ubah seperti keganasan dalam bentuk agama.

Namun demikian meletakkan kesalahan ke atas sebuah entiti agama sangat tidak wajar dan ia sama sekali bukanlah ajaran mana-mana agama melainkan sikap fanatisme itu sendiri yang bertitik tolak sebagai punca berlakunya keganasan.

Maka jika barah fanatisme itu sudah mula menyerang dalam sesuatu kelompok nescaya tidak ada lagi kedamaian seperti yang didambakan manusia. Ini kerana jika kita melihat ia dari sudut pandang agama Islam, setiap manusia ditegah untuk berbuat zalim kepada sesama manusia dan ia telah ditegaskan dalam surah al-Anbiya’ ayat 47:

“Dan Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, pada hari Kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika amalnya itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk dihitung: dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

Cabaran hidup dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama tidak sepatutnya menjadi satu faktor yang menyumbang kepada perpecahan dan keganasan bukanlah jalan terakhir kepada sebuah hegemoni kekuasaan tetapi dengan perbezaan tersebutlah menjadi satu faktor penyebab agar kita semua bersatu padu untuk hidup dalam penuh kerukunan.

Keganasan walau atas kapasiti apa pun harus ditegah dan kezaliman dalam apa jua bentuk harus ditentang sesuai dengan saranan Nabi Muhammad SAW:

“Sesiapa yang membunuh mua’hid bukan pada waktu dan tujuan yang dibenarkan oleh Allah untuk membunuhnya, Allah mengharamkan syurga untuknya.”




SYAFIE ABDUL seorang pemerhati politik dan pencinta kedamaian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen