malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Bidang kehakiman tak dinodai semasa Pak Lah, Najib
ADS

Saya tertarik dengan kenyataan penyelaras parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan mengenai zaman Umno yang dikatakan menodai institusi kehakiman dan memperalatkan bidang kehakiman untuk melindungi kemungkaran.

Saya tertanya-tanya, pada zaman bilakah yang beliau maksudkan? Umno memerintah negara ini selama 60 tahun dengan enam perdana menteri termasuk Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang tempoh tersebut, hanya sekali berlaku krisis kehakiman iaitu pada 1998 apabila Salleh Abbas dipecat daripada jawatannya sebagai ketua hakim negara.

Jika zaman itu yang dikatakan institusi kehakiman dinodai Umno, sememangnya semua sudah maklum, bahkan ianya sejarah hitam dalam sejarah kehakiman negara ini. Siapa yang tidak kenal perdana menteri ketika itu?

Namun ketika perdana menteri yang sama menjadi perdana menteri ketujuh, kes-kes mahkamah individu berkepentingan politik seperti Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli sewenang-wenangnya dibebaskan tanpa melalui perbicaraan.

Adakah ini juga kerana campur tangan Umno?

Pada zaman Abdullah Ahmad Badawi, tiada campur tangan politik dalam bidang kehakiman negara. Malah pada akhir pemerintahannya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Ia dianggotai hakim, bekas hakim dan ahli akademik. Tiada langsung orang politik.

Pada zaman Najib Razak, suruhanjaya itu dikekalkan dan menjalankan fungsi melantik hakim serta menentukan kenaikan pangkat hakim-hakim di semua peringkat.

Suruhanjaya itulah yang mencalonkan nama hakim kepada perdana menteri untuk dipersembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelas disebut dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Raja-raja untuk menasihati Agong dalam urusan perlantikan mana-mana jawatan yang diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Maka, apa yang cuba Khairuddin sampaikan apabila membuat desakan kepada Majlis Raja-raja untuk secepat mungkin menerima cadangan perlantikan ketua hakim negara oleh perdana menteri?

Apa yang Dr Asyraf Wajdi jelaskan dalam kenyataan beliau adalah mengenai proses perlantikan hakim sebagaimana diperuntukkan undang-undang dan perlembagaan.

Tiada isu untuk dipertikaikan melainkan Khairuddin tidak faham perlembagaan. Sebab itulah beliau menyerang peribadi Asyraf, bukannya bercakap berasaskan peruntukan undang-undang.

Saya sarankan semua pihak menghormati proses pelantikan hakim seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jangan pertikaikan kuasa Agong dan Majlis Raja-raja. Sudah menang menjadi kerajaan, buatlah kerja sebagai kerajaan. Jangan pula ada yang bercita-cita mahu menjadi raja!


NIK SAIFUL ADLI BURHAN ialah exco Pemuda Umno Malaysia merangkap pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda Umno Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen