malaysiakini logo
story-image
ADS

Amat mengecewakan apabila seseorang yang memiliki latar belakang undang-undang dan diangkat menjadi seorang anggota Dewan Rakyat masih dangkal memberikan pandangan mengenai hal-hal perundangan, khususnya melibatkan tadbir urus sesebuah kerajaan negeri.

Semalam Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dengan sengaja bertindak selektif kerana tidak memberikan pencerahan menyeluruh mengenai peranan institusi raja dalam pelantikan jawatan penting negeri, khususnya melibatkan menteri besar dan anggota exco.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa kepada - bukan saja Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri - sultan dan yang dipertua negeri untuk melantik menteri besar atau ketua menteri di setiap negeri.

Sebab itulah apabila nama mana-mana Adun daripada parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan - setelah mendapat perkenan memegang jawatan sebagai menteri besar dan exco - akan dilantik ke jawatan masing-masing mereka akan mengangkat sumpah taat setia di depan sultan.

Kalau sultan tiada peranan dalam soal pelantikan, maka apa rasionalnya upacara dan tradisi itu dilakukan?

Sesungguhnya Malaysia masih mengamalkan sistem dan prinsip raja berperlembagaan sebagai sebahagian daripada pemerintahan dan perjalanan tadbir urus kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri-negeri.

Maka, peranan dan fungsi institusi raja dan kesultanan masih relevan serta diguna pakai seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negeri berkaitan.

Janganlah anggota parlimen Pasir Gudang terlalu besar kepala dan sombong hanya kerana baru menang pilihan raya dan berjaya membentuk kerajaan buat pertama kali, dengan bongkak dan riaknya beliau melupakan segala asas pembentukan negara.

Institusi raja masih berfungsi, relevan dan memainkan peranan masing-masing kerana ianya memang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan menuduh sultan tidak mempunyai hak dan peranan dalam menentukan barisan exco negeri menunjukkan sikap sebenar anggota parlimen itu cuba mengkhianati peranan dan fungsi institusi raja dalam sistem pentadbiran kerajaan Johor.

Pandangan beliau juga merupakan satu kecurangan intelektual (intellectual dishonesty) dengan menyorokkan fakta perundangan berkaitan pentadbiran sebenar yang jelas merendah-rendahkan semangat serta prinsip Rukun Negara.


NOOR AZLEEN AMBROS ialah ketua Pemuda Umno Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen