malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Polemik ICC: Kebebasan akademik harus dimanfaatkan dengan tanggungjawab
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Chie, bahawa status empat ahli akademik yang dikatakan menjalankan kajian mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau Statut Rom akan dikaji.

ABIM memandang berat kenyataan sebegini dan menilai kenyataan tersebut bercanggah dengan semangat kebebasan akademik yang diperjuangkan.

Semangat Malaysia Baharu seharusnya mendorong kepada contestation of ideas yang hanya disuburkan menerusi kebebasan berfikir dan bersuara yang kritis.

Budaya ilmu berasaskan nilai intelektual yang kritis amat penting untuk memupuk minda kelas pertama yang diperlukan untuk mengisi suasana semangat Malaysia Baharu.

Akan tetapi semangat kebebasan akademik tidak boleh disalahgunakan sehingga boleh mencetuskan polemik yang mengelirukan rakyat. Tambah pula sekiranya tanpa memanfaatkan saluran yang sepatutnya.

Semangat kebebasan akademik harus berakarkan kepada prinsip, nilai, tanggungjawab dan akauntabiliti berteraskan tradisi ilmu.

Dalam masa yang sama kerajaan seharusnya mengambil iktibar daripada polemik ICC yang tercetus ini, dengan bersikap inklusif terhadap semua pandangan yang dikemukakan di samping menguruskan persepsi masyarakat awam secara holistik.

ABIM ingin menegaskan pendiriannya yang menyokong keputusan kerajaan meratifikasi Statut Rom sebagai mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada warga antarabangsa yang menjunjung keamanan sejagat.

Malah abim juga telah menganjurkan “International symposium on the path to justice for the Rohingyas: The International Criminal Court (ICC) & other international accountability mechanisms”.

Ia melibatkan tokoh pakar antarabangsa seperti Prof Gregory Stanton (pengerusi dan pengasas Genocide Watch) untuk memberi input dan bekerjasama bersama kerajaan untuk mengheret penjenayah dan kerajaan Myanmar ke ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan ICC.

Kezaliman yang melanggar norma kemanusiaan di seluruh dunia harus ditentang dan ditolak. Polemik ICC ini adalah menafikan hak Malaysia untuk melangkah ke hadapan mengangkat dhamir para mustaadhfin yang menantikan pembelaan daripada rakyat Malaysia.




MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Nota editor: Teo malam tadi menjelaskan beliau tidak menyebut kedudukan empat ahli akademik itu akan dibincang.

“Semasa ditanya di parlimen, jawapan saya adalah tiada perbincangan di peringkat KPM setakat ini tentang perkara yang dibangkitkan oleh sembilan orang mahasiswa terhadap terhadap orang akademik.

“Saya minta masa supaya perkara yang dibangkit oleh mahasiawa boleh dikaji atau dibincang secara menyeluruh,” katanya.

Lihat Komen