malaysiakini logo
story-image
ADS

Dinamika politik di Johor ini agak sukar hendak diramal, daripada tersungkurnya penguasaan Umno-BN di negeri kelahirannya sendiri hinggalah kepada peristiwa pelantikan menteri besar Johor PRU14 yang lalu.

Tapi, demokrasi mengizinkan semua ini berlaku. Selagi ia berlandaskan undang-undang dan prinsip demokrasi yang betul, maka sememangnya keadaan dan dinamika seperti ini akan berlaku, dan pastinya ia akan berlaku dan berlaku lagi pada masa akan datang.

Kita warga yang dah merdeka dan matang, semua ini boleh diterima seperti mana kita menerima bahawa Umno- BN tidaklah kebal selama-lamanya.

Pelantikan Osman Sapian sebelum ini dilihat agak mengejutkan kerana beliau bukanlah nama yang disebut-sebut sebelum ini.

Osman dan Mahathir

Malah reputasinya berbanding nama lain sewaktu itu seperti Salahuddin Ayub tidak dapat dibandingkan, apatah lagi Osman datang dari kumpulan Umno yang menyeberang ke Bersatu.

Namun, tuah ayam nampak di kaki, tuah Osman, baru ini kita tahu.

Sungguhpun MB Johor ini dari segi gaya pentadbiran, fikir dan caranya sangat old school namun, beliau boleh mentadbir dengan baik.

Tetapi, di zaman sumber informasi di hujung jari, maka kelemahan beliau ini sangat mudah dilihat di mata umum dan amat senang digunakan oleh seteru politiknya, baik dalam mahupun luar partinya.

Sosok politik ini menerima banyak kecaman sedangkan, kelemahan itu tidaklah sebanding dengan skandal atau krisis keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri dan pentadbirannya kekal kukuh tanpa diganggu gugat dengan kelemahan satu-dua individu.

Pada hari ini, pergolakan politik datang lagi dan Osman yang tersepit di tengah-tengah percaturan elit politik, mungkin akan terkorban.

Di kesempatan inilah, parti PKR dan Bersatu sedang memasang lukah dengan harapan, perubahan yang sedang berlaku ini akan menyebelahi parti mereka.

Anwar Ibrahim selaku presiden PKR boleh menangguk di air keruh. Adegan ‘cium tangan’ istana ini mungkin akan memberi laba politik kepada beliau.

Pertemuan Anwar dan sultan Johor pada 22 Mei 2018.

Sungguhpun PKR dirasakan tidak mempunyai calon menteri besar yang cukup berkaliber di Johor, Anwar boleh sahaja menggunakan hujah Bersatu mencalonkan Osman sebelum ini, boleh menutup persoalan “tiada calon kuat” daripada PKR ini.

Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin pula perlu bekerja keras untuk meyakinkan istana agar calon Bersatu dapat diterima sebagai ganti kepada Osman. Ini disebabkan kedudukannya yang dilihat berada dalam ‘naratif’ Dr Mahathir Mohamad.

Pergelutan politik ini dilihat bukanlah antara calon antara parti untuk jawatan MB Johor, tetapi antara percaturan dan pengaruh Mahathir, Anwar dan istana.

Walaupun calon Bersatu ini mungkin lebih berkualiti berbanding Osman dan calon MB PKR, keadaan seakan tidak menyebelahi Bersatu Johor. Dan Bersatu Johor mungkin akan terlepas.

Beginilah dinamika politik, calon yang berwibawa dan berkualiti, mungkin akan gagal dinobatkan sebagai MB kerana faktor pengaruh elit politik.


ABDULLAH FAHMIN ialah anak jati Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen