malaysiakini logo
story-image
ADS

Gus Mus ketika ditanya dalam sebuah wawancara tentang pilihan raya presiden (Pilpres) Indonesia yang bakal berlangsung tidak lama lagi menjawab, dalam apa jua hal sekalipun janganlah berlebih-lebihan.

Gus Mus – cendekiawan agama, seniman serta sasterawan – mengupas bagaimana sikap berlebih-lebihan ini akhir sekali akan membawa kepada perpecahan, peperangan dan kerosakan pada akhlak seseorang.

Kita ambil contoh jika terlalu taksub kepada seseorang pemimpin hingga sanggup membutakan kebobrokan, pastilah sesebuah organisasi tersebut tidak dapat bergerak dengan sepatutnya.

Begitu juga dengan sikap taksub kepada pengamalan dan kepercayaan serta sesuatu fahaman, kesan negetifnya, pastilah yang paling dekat dengan situasi sekarang adalah serangan masjid di New Zealand.

Wa Gun, antara leluhur Tok Salih yang tertua masih hidup.

Namun jika kita sentiasa bersederhana dalam apa jua hal sekalipun, pasti kasih sayang dapat disebar.

Baru-baru ini di sebuah kampung dalam Mukim Chuping membuktikan bahawa kesederhanaan dalam sebuah kehidupan masih wujud dan kuat dipegang.

Balik Bukit, Chuping, Perlis. Barangkali tidak siapa pernah mendengar namanya.

Lebih 150 tahun yang lalu seorang panglima yang menjadi wakil raja dalam urusan penghantaran ufti ke Siam telah memutuskan bahawa kawasan ini adalah satu tempat yang paling sesuai dan terbaik untuk beliau memulakan legasinya.

Beliau orang kesayangan istana, handal dalam ilmu seni mempertahankan diri, bijak meramal musuh, mahir dalam hutan serta pandai menjinak gajah hingga dilantik menjadi ketua gembala gajah raja.

Sekian lama berkhidmat di istana dan setelah mendapat perkenan raja, beliau diizinkan untuk meneruskan kehidupannya sendiri.

Beliau dihadiahkan dua ekor gajah dan bebas memilih di mana sahaja kawasan di dalam negeri Perlis untuk didiami.

Bukit Chuping, di sebalik bukit yang penuh mitos, hikayat dan sejarah peradaban manusia inilah panglima tersebut memilih untuk menetap bersama isterinya bernama Tok Umai kerana kawasan tersebut sangat sesuai dan disukai gajah-gajah beliau.

Panglima dan isterinya Tok Umai dikurniakan lapan orang anak. Mereka bernama Hussien, Hassan, Bu, Nab, Bakar, Hawa, Adam dan Jaya.

Sebelum menjadi orang kesayangan istana Raja Perlis sekitar tahun 1843 hingga 1873, beliau yang lebih senang disapa Tok Salih pernah tinggal di istana Siam selama hampir 40 tahun selepas dibawa ke istana sebagai tawanan ketika usianya dalam 20-an dan perlahan-lahan menjadi orang penting istana Siam ketika itu.

Ini susulan kepahlawanannya di samping pandai menjinak gajah.

Cerita-cerita lisan luluhur

Cerita-cerita lisan daripada luluhur barangkali menjadi satu khazanah penting dan kisah-kisah tersebut adalah sebuah pembinaan jati diri dalam membentuk masyarakat yang kenal tatatusila serta kerukunan hidup bersama dan ia benar-benar masih wujud walaupun sudah lebih 150 tahun berlalu dengan legasi silih berganti.

Atas keyakinan ‘hidup bersama’ setiap tiga tahun sekali para penduduknya akan bergotong royong untuk mengadakan kenduri kampung yang dibiayai sepenuhnya anak kelahiran kampung tersebut walaupun di mana mereka berada dan diselang-selikan dengan cerita-cerita sejarah leluhur mereka.

Tanpa sengketa fahaman mazhab, fahaman politik atau prejudis kekuasaan, mereka sama-sama menjunjung semangat ‘hidup bersama’ yang telah diwarisi sejak dahulu.

Membina jaringan persaudaraan tidak semudah membina istana pasir, membina jaringan persaudaraan adalah membina kasih sayang.

Kasih sayang dibina dengan hati yang baik, tetapi menghapus segala hegemoni jelek inilah yang sangat sukar kita binakan apatah lagi untuk membina sebuah Malaysia Baru, pastilah ia akan lebih mencabar dan ia sangat mengujikan.


ARAFAT HAMBALI penulis separuh masa yang suka lihat orang politik, sasterawan, budayawan, cendiakawan dan 'bawangrian' menebarkan benih kasih sayang demi memanusiakan manusia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen