malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya sebutkan insiden ini sebagai ‘drama’ bukanlah dengan niat untuk meremehkan apa yang telah berlaku. ‘Drama’ yang berlaku ini memaparkan realiti apa yang berlaku dalam masyarakat dan bagaimana beberapa sutradara yang terlibat memiliki niat yang berbeza-beza; ada ikhlas mahukan pengakhiran yang baik, namun ada juga nakal yang mahukan ‘drama’ ini meleret-leret menjadi beberapa episod yang panjang.

Syukur ‘drama’ insiden pengusiran dan piket 22 penghuni Flat PPR Taman Manggis berakhir dengan satu penyelesaian jalan tengah yang dicapai di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mereka yang terlibat. Terima kasih kepada semua penghuni yang terlibat kerana turut sama berlapang dada menerima cara dan kaedah penyelesaian yang ditawarkan oleh kami. Semuanya ini tercapai apabila pintu rundingan dibuka seluas-luasnya oleh Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang kepada penghuni yang terlibat. Bahkan saya percaya ‘drama’ ini seharusnya selesai lebih awal sekiranya ia tidak melibatkan sutradara ‘nakal’ yang cuba mengeruhkan keadaan.

Banyak yang dapat kita pelajari daripada ‘drama’ terbaru ini. Pada saya ini yang penting kita amati dan fikirkan, tolak soal sentimen dan emosi, gunakan akal rasional dan jujur dalam menilai dan memberi kesimpulan kepada pengakhiran drama ini.

Sebagai kerajaan, tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang tidak memikirkan untuk membina dan menyediakan rumah untuk rakyatnya. Hatta rejim Zionis Israel yang zalim menghalau rakyat Palestin dari tanah mereka itu pun; mengabsahkan kezaliman mereka (baca: regim Zionis Israel) kerana mahu membina penempatan untuk rakyat Israel sendiri. Maka adalah amat tidak bertanggungjawab untuk segelintir pihak menuduh bahawa tindakan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang adalah satu bentuk kezaliman walhal yang kami lakukan itu adalah sebenarnya untuk menjunjung prinsip keadilan dan kesaksamaan yang sebenar.

Isu pokoknya adalah isu perumahan bukan isu perkauman; membina dan menyediakan rumah untuk rakyat terutamanya bagi mereka dari golongan yang kurang berkemampuan. Pabila bicara soal membina rumah, pastinya ia berkait rapat dengan soal membangunkan komuniti atau masyarakat. Kita tidak dapat lari daripada hakikat ia sering dikaitkan dengan soal etnik, kelas pendapatan dan cabaran mewujudkan satu dasar yang saksama dan adil.

Di Pulau Pinang, cabaran ini lebih besar bila wujud stigma seolah-olah hanya satu kaum saja yang mampu memiliki rumah di bahagian pulau dan ada usaha terancang untuk menafikan hak Bumiputera untuk memiliki rumah. Suka untuk saya tegaskan, semenjak Pakatan Harapan memerintah di negeri ini, dasar perumahan kami sentiasa fokus kepada keperluan, memenuhi permintaan, meningkatkan kecekapan dan memberikan kepada yang mereka yang layak. Cita-cita murni kami adalah majoriti rakyat negeri ini mampu memiliki aset mereka sendiri yang dipanggil rumah.

Sejak saya menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2013, saya berpeluang untuk terlibat terus dalam usaha reformasi dasar perumahan yang dipelopori oleh, YB Jagdeep Singh Deo, selaku exco perumahan apabila saya adalah salah seorang anggota Jawatankuasa Pembersihan Perolehan Perumahan (SPEC). Jawatankuasa ini telah memungkinkan kami untuk membincangkan dan menggubal kebijakan yang progresif dan adil bagi memastikan hak asasi rakyat kepada pemilikan rumah dapat dicapai. Fokus kami pastinya kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah yang amat memerlukan dan wajib dibela. Tak timbul isu perkauman.

Sama juga isunya dengan ‘drama’ PPR Taman Manggis, apabila mereka yang hilang kelayakan untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat Termiskin perlu berdepan dengan tindakan tegas, tujuannya adalah agar mereka yang layak dan benar-benar memerlukan mendapat pembelaan. Pastinya menegakkan keadilan bukanlah satu usaha yang mudah tetapi kami perlu berani dan cekal untuk mengambil keputusan yang berat ini.

Dalam memiliki rumah di Pulau Pinang hari ini, baik waima PPR, rumah kos rendah, kos sederhana rendah ataupun apa saja projek perumahan rakyat; zaman di mana prasyarat memiliki rumah-rumah ini haruslah menjadi anggota atau memegang jawatan di cawangan atau bahagian kepada satu-satu parti politik; kini telah menjadi lapuk dan tidak terpakai. Tiada lagi keperluan untuk ‘surat sokongan’ itu dan ini dari orang politik bagi memungkinkan pemilikan rumah untuk rakyat. Budaya ini telah lama kami tamatkan, diganti dengan budaya yang telus, adil dan berintegriti.

Bahkan di desa - desa sekitar Pulau Pinang, di bawah portfolio saya pembangunan desa; kami telah mendirikan lebih daripada 120 buah rumah desa dan membaik pulih lebih daripada 464 buah rumah, dengan harapan penduduk desa yang miskin juga mendapat pembelaan dari segi memiliki tempat tinggal yang selesa dan berkualiti.

Maju bersama ke hadapan, saya ingin menyeru kepada semua rakyat, terutama yang masih dalam dilema mahupun kemelut berkaitan soal pemilikan rumah di Pulau Pinang, tampillah bertemu dengan kami di peringkat kerajaan negeri melalui Jabatan Perumahan agar kami dapat memudah cara melalui beberapa skim pemilikan rumah yang telah kami wujudkan. Bersama kita realisasikan wawasan Penang 2030; untuk setiap warga memiliki dan mendiami rumah yang selesa dan harmoni.


DR AFIF BAHARDIN ialah exco kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen