malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Menjelang ulang tahun ke-53 penubuhan DAP yang akan diraikan esok pada 18 Mac 1966, DAP menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdiri teguh untuk mencapai wawasan kita iaitu kemakmuran dikongsi bersama tanpa mengira bangsa, agama atau lokasi, supaya kita dapat memberikan anak-anak dan cucu-cucu kita sebuah negara dengan masa hadapan yang cerah yang dapat dibanggakan.

Kejayaan bersejarah PH dalam pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, dan kejayaan menggantikan BN buat kali pertama dalam 61 tahun sejak Merdeka, memberikan harapan yang negara mampu menangani masalah-masalah lampau yang tidak diendahkan oleh pentadbiran terdahulu.

Sebagai anggota gabungan PH, DAP mesti fokus terhadap perpaduan nasional; kemakmuran yang dikongsi bersama bagi memberikan peluang pekerjaan, pendidikan, dan perniagaan yang saksama; pentadbiran yang bersih dan menentang rasuah; menghormati kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua; tadbir urus baik yang berpaksikan rakyat dan berpandukan pencapaian; dan memelihara alam sekitar dan hak asasi manusia setiap rakyat Malaysia untuk hidup secara bermaruah.

PH tidak menafikan bahawa kami menghadapi banyak cabaran terutamanya yang berkait dengan naratif perpaduan nasional yang dibangkitkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan niat memecah dan mengganggu kerajaan PH dengan menggunakan politik perkauman dan ekstremisme.

Penggunaan politik kebencian dan konfrantasi merupakan percubaan yang lemah untuk menyembunyikan ketidakmampuan mereka untuk mengurus ekonomi dengan baik sehingga gaji tidak dapat dibayar, dan menyembunyikan korupsi mereka yang berlaku pada skala industri sehingga Malaysia digelar kleptokrasi global.

Kami sekadar mampu mengingatkan rakyat Malaysia berkali-kali bahawa hanya gabungan parti PH yang dapat mewakili semua rakyat Malaysia, tanpa mengira demografi atau geografi.

Namun itu tidak memadai kerana rakyat mahu lihat bagaimana taraf hidup mereka dapat ditingkatkan. Maka kerana itu, dua fokus kita ialah mengotakan janji-janji kita yang telah disampaikan dalam manifesto PH, dan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang baik, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan mengawal kos sara hidup supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi.

Ujian terakhir yang menentukan kejayaan PH ialah jawapan kepada soalan ini, “Adakah keadaan anda di bawah PH kini lebih baik daripada di bawah BN?”

Sekiranya jawapannya positif, maka PH telah menunaikan tanggungjawab kita bukan sahaja terhadap rakyat tetapi juga kepada generasi akan datang.

Marilah kita terus fokus kepada mengotakan janji-janji pilihan raya kita dan menyediakan peluang pekerjaan yang baik agar kita dapat menjadikan ekonomi kalis masa hadapan sewaktu ia sedang dalam peralihan menuju zaman digital.


LIM GUAN ENG merupakan Setiausaha Agung DAP dan menteri kewangan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen