malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebelum saya menjejak kaki ke Amerika Syarikat dahulu , saya sudah membaca beberapa buku ahli akademik dalam bidang kenegaraan seperti Allan Bloom, Noam Chomsky, Francis Fukuyama, dan Samuel E. Huntington, termasuklah kisah pekerja-pekerja kulit hitam di Philadelphia yang membina jalan kerata api bawah tanah pada tahun 1800-an dahulu.

Oleh kerana nama saya berbunyi kearaban, kebimbangan awal ialah jika ditahan lama di pemeriksaan imigresen Amerika Syarikat. Kebetulan ketika itu muncul isu Islam fobia kesan daripada tragedi 911, pengeboman di tempat awam dan sebagainya.

Namun begitu saya lulus ujian Imigresen dengan mudah. Kita perlu bersyukur bahawa apabila membawa nama Malaysia di luar negara, kita berasa selamat dan dihormati kerana negara kita telah dikenali banyak memberi sumbangan yang besar dalam hal keamanan dunia dan kepentingan sejagat.

Saya teringat masalah yang dihadapi ketika mengunjungi Mumbai, India. Ketika itu, saya sangat yakin tidak memerlukan visa kerana India adalah negara Komanwel. Lagipun laman web Kedutaan India di Kuala Lumpur turut menyatakan VOA (Visa On Arival). Inilah pengajaran, kita tidak boleh terlalu mempercayai internet dan laman web kerana kadang-kadang ianya tidak dikemas kini. Rupa-rupanya VOA baru sahaja ditamatkan.

Sampai saja di imigresen lapangan terbang Mumbai, saya dibawa ke bilik imigresen dan tidak lama kemudian kami dihantar menaiki semula kapal terbang. Saya tidak dibenarkan memasuki Mumbai walaupun kami dijemput menyampaikan ceramah.

Keadaan tidak sama di semua negara, yang penting kita perlu memastikan nama baik negara walaupun ketika kita menghadapi masalah yang rumit.

Di Washington DC, saya menghadiri sebuah seminar di Universiti Washington dengan tema Sejarah Malaysia. Amat menyeronokkan kerana dapat bertemu dengan bekas pensyarah dari Amerika Syarikat yang pernah bertugas di Universiti Malaya sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Mereka sungguh fasih berbahasa Melayu. Mereka bercakap isu Malaysia dan globalisasi daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Sepanjang hari berseminar tidak ada jamuan makan tengah hari dan minum petang. Kami hanya disediakan sarapan pagi dengan sedikit kuih-kuih Melayu dan itulah sahaja sepanjang hari. Sungguh jimat bukan? Bolehkah perkara ini diamalkan di Malaysia? Berjimat-cermat dalam konteks negara adalah salah satu sifat patriotisme kerana ia terkandung dalam nilai-nilai patriotisme yang positif.

Di universiti-universiti yang terkenal di Amerika Syarikat, saya bertemu beberapa profesor yang berasal dari Malaysia. Mereka bekerja di universiti berkenaan dan ada yang menjadi penasihat kepada persatuan-persatuan pelajar Malaysia. Maknanya mereka juga patriotik dengan cara menyayangi orang Malaysia dan menjaga nama baik negara.

Kebanyakan pelajar yang dihantar oleh kerajaan ke Amerika Syarikat adalah mereka yang cemerlang di peringkat SPM dan persediaan. Ada juga yang ditaja oleh sektor swasta dan ibu bapa sendiri. Keadaan tidaklah sesukar zaman 70-an dan 80-an kerana ketika itu belum ada teknologi telefon bimbit dan sebagainya. Namun begitu amat menggembirakan saya ialah di sebalik revolusi industri ini, rakyat kita tetap menunjukkan jati diri yang kuat di luar negara.

Dalam satu sambutan Deepavali, hampir 200 pelajar dan komuniti Malaysia hadir ke majlis tersebut, namun hanya lebih kurang sepuluh pelajar India yang beragama Hindu. Majoriti adalah pelajar Melayu dan Cina. Apakah maknanya? Ini bermaksud dalam kepelbagaian kaum, kita dapat bersatu.

Begitu juga ketika sambutan Krismas, daripada 50 orang hadir di rumah seorang profesor asal Malaysia yang beragama Kristian, hanya tuan rumah sahaja beragama Kristian. Maknanya, walaupun terdapat perbezaan agama, kaum dan kepercayaan namun atas nama Malaysia, kita semua dapat hidup dengan harmoni. Agak-agaknya apakah yang mengikat tali perpaduan kita? Kebersamaan?

Formula ini perlu dibawa ke dalam negara. Kita kini berhadapan dengan Revolusi Industri yang memberi kesan di seluruh dunia. Bagaimanakah kita boleh mengawal emosi dan tindakan kita di alam maya tatkala berhadapan dengan isu-isu politik, sosial dan ekonomi.

Undang-undang sudah banyak untuk mengawal perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara. Namun begitu, yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh menjadi seorang warganegara yang berdisiplin, bertolak-ansur dan berhemah tinggi. Keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI adalah pemerhati politik dan pembaca Malaysiakini.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen