malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa hari lepas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memaparkan di akaun Facebooknya satu video penjelasan berkenaan sekolah dan vaksin. 

Secara rumusannya, pada pandangan saya dalam video tersebut, Dr Maszlee menerangkan bahawa pendirian Kementerian Pendidikan ialah tidak akan menutup sekolah kepada anak-anak, tidak kira sama ada divaksinkan atau tidak, kerana itu adalah hak anak-anak untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Video tersebut telah mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat awam dan juga petugas kesihatan. Ada yang setuju, ada juga yang sebaliknya.

Pandangan peribadi saya? Sebagai doktor dan juga sebagai anggota masyarakat yang mahu melihat anak-anak sihat dan dilindungi daripada penyakit berjangkit, saya setuju dengan pandangan Dr Maszlee.

Kenapa? Ini sebabnya.

1. Bukan salah anak-anak

Saya rasa tidak adil jika anak-anak menanggung kesan akibat tindakan jahil ibu bapa anti-vaksin. Tak pakai topi keledar pun, ibu bapa yang akan didenda. Seolah-olah pelaku dosa ialah ibu bapa, penerima hukuman ialah anak-anak. Kita juga perlu lebih teliti, adakah di sana ada angka yang tepat tentang jumlah anak-anak dari ibu bapa anti-vaksin ini yang menghantar anak ke sekolah bawah kerajaan?

Jika kita menutup pintu untuk mereka, mereka masih boleh memilih sekolah/institusi lain, dan mungkin di sana akan berkumpul pula anak-anak tidak divaksin ini dan mewujudkan reservoir/takungan baru untuk penyakit berjangkit boleh cegah dengan vaksin (Vaccine-Preventable Diseases – VPD). Sekurang-kurangnya jika mereka masuk ke sekolah kerajaan, ada herd immunity dari anak-anak yang mengambil vaksin.

2. Anak-anak berisiko semakin terpinggir

Bayangkan, anak-anak ini, di sekolahlah mereka bergaul, bermain dengan rakan. Jika kita tutup pintu untuk mereka, ke mana mereka akan pergi? Dengan siapakah mereka akan bergaul? Tidakkah mereka semakin terpinggir? Apakah kesan jangka panjang pula kepada emosi mereka?

3. Pendidikan alat untuk bebas dari kejahilan

Kita juga kena akui bahawa hanya dengan pendidikanlah kita boleh selamatkan masyarakat daripada terus menerus terperangkap dalam kepompong kejahilan. Jika mereka ke sekolah, akal mereka akan mula tertanya, kenapakah aku tidak divaksin sedangkan rakan-rakanku juga divaksin? Pendidikanlah untuk "break the chain" dan memusnahkan kitaran jahat (vicious cycle) doktrin anti-vaksin dari generasi ke generasi.

Ini yang berlaku di Amerika Syarikat apabila ramai remaja mula melawan ibu bapa mereka yang anti-vaksin. Contohnya di Ohio, bulan lepas, seorang remaja 18 tahun, Ethan Lindenberger [1] sudah mula mengambil vaksin walaupun dia dibesarkan tanpa suntikan vaksin atas keputusan ibunya. Namun apabila beliau perhatikan di sekolah, rakan-rakannya yang lain mengambil vaksin, dia mula sedar dan membuat pembacaan sendiri.

4. Kajian “No Jab, No Play” di Australia

Ada beberapa artikel dan kajian yang dilakukan untuk menilai kesan polisi No Jab No Play di Australia. Polisi ini juga sama seperti yang dicadangkan di Malaysia, iaitu kanak-kanak tidak dibenarkan ke sekolah tanpa mendapat suntikan vaksin.

Kesannya? Walaupun ada peningkatan dalam kadar penerimaan vaksin, namun beberapa kerisauan timbul.

Dalam satu kajian [2] oleh Sydney School of Public Health dan Vaccine and Immunisation Research Group, Royal Children’s Hospital, Melbourne yang disiarkan dalam Journal of Paediatrics and Child Health menyimpulkan bahawa :

“While vaccination is well supported by evidence, the current ‘No Jab, No Pay’ legislation is not and brings a series of unintended negative consequences.”

Dalam kajian lain [3] oleh Medical Journal of Australia pula, pakar menyatakan bahawa polisi kerajaan tersebut perlu dinilai dengan penuh hati-hati untuk memastikan ia betul-betul berkesan. Malah di sesetengah daerah seperti Victoria, pakar juga menyatakan bahawa :

“The likely unintended adverse impacts of the Victorian legislation include reduced access to important early childhood education,”

5. Risiko anak tak bernegara “Stateless Children”

Kementerian Pendidikan pada tahun ini telah membuat satu perubahan besar pada polisi kemasukan pelajar ke sekolah, iaitu dengan memudahkan penerimaan kemasukan pelajar tanpa kerakyatan. Polisi ini akan memberi manfaat kepada ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan terutamanya di Sabah dan mengelakkan mereka terus terpinggir dari arus pendidikan perdana. Sebahagian daripada mereka tidak mendapat akses kepada program imunisasi yang sempurna. Bagaimana nasib mereka? Adakah hak mereka untuk mendapatkan pendidikan akan dinafikan?

6. Outbreak masih boleh terjadi di luar sekolah.

Penyebaran VPD masih boleh terjadi di luar sekolah, kerana anak-anak tidak divaksin ini masih boleh berada di mana-mana sahaja tempat awam. Menumpukan polisi ini di sekolah sahaja akan memberi kelegaan sementara kerana bahaya dan ancaman sebenar masih berlegar di luar. Itulah yang terjadi bila mana penyakit mumps merebak di beberapa sekolah asrama tahun lalu. Puncanya boleh jadi daripada saudara mara, kenalan, kawan atau sesiapa sahaja yang bukan berada di sekolah. Jadi tindakan pencegahan/hukuman sepatutnya lebih menyeluruh.

Maka cadangan saya : Secara umumnya, apa-apa saja tindakan adalah lebih baik jika ia betul-betul mensasarkan kepada pelaku tindakan, dalam hal ini – ibu bapa.

1. Tarik subsidi perkhidmatan kesihatan yang dinikmati oleh ibu bapa. Kemasukan ke wad, lawatan ke klinik kesihatan, klinik pergigian, prosedur, pembedahan perlu dibayar mengikut caj sebenar tanpa subsidi. Tindakan ini boleh diambil melalui keputusan mesyuarat Kabinet Menteri, tanpa perlu melalui Dewan Rakyat, kerana ini berkaitan dengan Perintah Fi Perubatan.

2. Boleh juga dipertimbangakn senarai nama anti-vaksin ini disenaraihitamkan oleh Imigresen dan dihalang ke luar negara seperti mana peminjam PTPTN sebelum ini.

3. Memandangkan anti-vaksin kebanyakannya Muslim, mungkin juga sudah tiba masanya subsidi haji di bawah Tabung Haji juga ditarik dan mereka perlu bayar penuh untuk pergi haji.


DR AHMAD HIDAYAT HASNI MAD ISA merupakan seorang pegawai perubatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen