malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya terbaca ulasan veteran PAS Subky Latif seperti yang dipetik melalui Malaysiakini. Dia menasihatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar berwuduk apabila merasa marah. Beliau mengulangi bahawa PAS memang tidak pernah setuju Anwar jadi perdana menteri (PM), maka presidennya Abdul Hadi Awang sanggup menyokong agar Dr Mahathir Mohamad menjadi PM sehingga tamat penggal ini.

Tentang PAS tidak pernah menyokong Anwar menjadi PM itu saya rasa Subky sudah terlalu tua dan penyakit lupanya semakin ketara. Dia terlupa sewaktu PAS dipimpin Almarhum Ustaz Fadzil Noor, parti itu pernah berkempen dan mengisytiharkan Anwar sebagai calon PM jika pembangkang ketika itu menjadi kerajaan. Ini diakui sendiri oleh Mohamad Sabu dan ramai pemimpin PAS lain. Masakan Subky terlupa kerana waktu itu dia amat aktif di pentas PAS.

Almarhum Tok Guru Nik Aziz juga sering menyebut tentang kehebatan Anwar dan menyokongnya sebagai PM. PAS mula tidak menerima Anwar setelah kematiannya. Pas hanya mahu menumpang tuah dan kehebatan Anwar bagi keuntungan partinya semata-mata. Daripada parti yang sentiasa hilang deposit dalam pilihan raya, PAS menjadi parti kuat dan dapat memerintah Terengganu, Kedah, Perak dan mengekalkan Kelantan hasil apabila reformasi yang dibawa Anwar.

Pemimpin PAS dapat merasa kemewahan menjadi wakil rakyat dan exco, bahkan menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat berkaitan kerajaan di Selangor kerana berkat perjuangan reformasi yang dibawa Anwar.

Setelah pemergian Almarhum Tok Guru Nik Aziz, PAS bukan sahaja menolak Anwar bahkan memusuhi rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP. Akhirnya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana sudah mula tertarik dengan Umno.

Subky Latif kenal Anwar begitu lama iaitu daripada usia muda sampailah sekarang dengan penyakit lupanya. Pernah dia lihat Anwar menghentam PAS seperti sekarang?

Subky Latif

Sewaktu Anwar dalam Umno dulu pun dia tidak bertindak seperti sekarang. Sewaktu memimpin Pakatan Rakyat, Anwar langsung tidak mengusik PAS walaupun kerap kali pemimpin PAS mengatanya. Apabila PAS merampas kerusi PKR atas alasan calon PKR terlibat dengan fahaman Komunis dan edar pil kuda, Anwar diam dan membiarkan tuduhan tersebut meskipun sampai sekarang Hadi gagal mengemukakan bukti atas fitnahnya itu.

Hadi pernah memperlekeh isteri Anwar, Wan Azizah Wan ismail yang ketika itu presiden PKR - setaraf dengan jawatan Hadi. Ia ketika Hadi membantah Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor atas alasan dia tidak layak. Ada Anwar membalasnya?

Bukankah pada PRU ke-13 dulu, Hadi rela mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi PM jika Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya? Masuk akalkah? Pakatan Rakyat bertungkus lumus melawan Umno, apabila menang menjadi kerajaan mahu angkat pemimpin Umno sebagai PM pula. Gila sungguh.

Sejak bila Anwar mula hilang sabar dengan PAS terutamanya dengan Hadi? Ia bermula apabila Hadi bertemu Mahathir dan menyatakan sokongannya atas alasan ada pihak di dalam Pakatan Harapan (PH) mahu menjatuhkan Mahathir melalui undi tidak percaya. Anwar semakin terpaksa mempertahankan diri apabila PAS terang-terangan menyatakan Anwar adalah dalang untuk menjatuhkan Mahathir

Sudah tentu dan wajar Anwar berasa marah kerana fitnah terhadapnya semakin melampau. Bukan mudah Anwar untuk berbaik dengan Mahthir, tetapi masing-masing bersatu kembali untuk negara. Sepatutnya Hadi sebagai ulama menjadi orang paling gembira apabila dua insan yang berpuluh tahun berseteru kini berbaik semula. Bukankah Islam menyuruh kita agar mendamaikan dua pihak yang berselisih?

Malangnya Hadi tidak bersikap seperti seorang ulama. Dia risau jika Anwar dan Mahathir bertambah baik, PH akan menjadi lebih kuat. PAS risau jikaAnwar diangkat menjadi PM, maka Umno dan Pas akan perlahan-lahan masuk kubur sendiri. Mereka tahu kelebihan Anwar sewaktu dia berada dalam Umno lagi. Pas yang awalnya agak berpengaruh tetapi merudum setelah Anwar menyertai Umno. Banyak program dan dasar kerajaan berbentuk Islamik telah dijayakan oleh Anwar ketika itu. PAS boleh bayangkan jika Anwar menjadi PM, sudah pasti parti itu akan menjadi sejadah buruk.

Ada sebab mengapa Anwar lawan PAS sekarang. Selain fitnah Pas terhadapnya, Anwar ingin membetulkan penipuan Hadi kepada para penyokongnya berkaitan wang RM1.4 juta yang dikatakan dibayar untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown. Sehingga kini Hadi gagal menjawab tuduhan dan cabaran Anwar. Hanya pengampu-pengampunya saja yang berkokok mepertahankan presiden mereka.

Akhirnya mereka menuduh Anwar terlibat menguruskan pembayaran tersebut melalui seseorang yang dikatakan kawan baiknya. Fitnah ini bukan sahaja jahat tetapi menunjukkan kebodohan. Apa perlunya Anwar membayar wang sebanyak itu hanya untuk selesaikan masalah Hadi?

Cukup-cukuplah Subky mencium 'kentut' Hadi. Anda orang lama dalam PAS dan tidak patut diperbodohkan semudah itu oleh Hadi. Anda yang selalu mencium 'kentut' Hadi, sepatutnya anda menasihati Hadi agar mengambil wuduk semula kerana 'kentut' itu membatalkan wudhuk.


WFAUZDIN NS adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen