malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Umur minimum 30 tahun anggota Dewan Negara wajar diturunkan
ADS

Pemuda PKR Wilayah Persekutuan menyeru pimpinan PH - terutamanya yang menganggotai Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara - meneliti semula had umur bagi melayakkan seseorang dilantik menjadi senator.

Kami berpendapat had umur 30 tahun yang ada sekarang wajar diteliti semula untuk meneruskan usaha kerajaan memastikan badan legislatif negara menggubal undang-undang yang relevan untuk anak muda.

Usul penurunan had umur pengundi yang bakal dibawa ke parlimen bererti anggota Dewan Rakyat prihatin dan bakal menumpukan lebih banyak penggubalan polisi dan undang-undang berkaitan anak muda.

Justeru Dewan Negara perlu bersedia dengan perubahan ini.

Kelayakan seseorang tidak wajar dilihat melalui faktor umur semata-mata, sebaliknya pada kemampuan dan kebijaksanaan membawa agenda rakyat.

Hujah-hujah yang cuba menggambarkan anak muda bawah umur 30 tahun tidak layak menjadi anggota Ahli Dewan Negara tidak lagi relevan kerana salah seorang menteri kabinet sekarang juga berumur kurang daripada 30 tahun.

Kita jangan sesekali lupa bahawa Dewan Negara menggubal undang-undang untuk keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan untuk golongan yang berumur melebihi 30 tahun sahaja.

Oleh itu, suara golongan berumur kurang daripada 30 tahun itu juga berhak untuk didengari dan dipertimbangkan di dalam Dewan Negara.

Arus kemodenan dunia yang semakin laju dituruti dinamika pembudayaan yang sangat pantas melahirkan cabaran yang sangat berbeza buat penggubal undang-undang hari ini.

Cabaran baru ini bukan sahaja memerlukan perspektif anak muda tetapi juga memerlukan kefahaman terkini bagi memungkinkan dasar yang bakal digubal itu relevan dan menurut keadaan semasa.

Penurunan had umur anggota Dewan Negara sangat kritikal agar penggubalan dasar di era Malaysia Baru ini memenuhi aspirasi dan keperluan generasi baharu.

Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan yakin pucuk pimpinan PKR dan parti-parti komponen PH akan menerima baik cadangan untuk memperkasakan badan perundangan bagi membolehkan dasar yang boleh diterima golongan anak muda dapat digubal.

Kerajaan tidak wajar melupakan kesungguhan golongan muda yang keluar berpusu-pusu untuk mengundi mereka ketika pilihan raya lalu.

Pemuda PKR Wilayah Persekutuan tegas menolak dan menangkis sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk menyekat suara anak muda daripada didengari.


NA’IM BRUNDAGE ialah ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen