malaysiakini logo
story-image
ADS

PAS tidak perlu menangguk di air keruh dengan memainkan propaganda jahat kononnya terdapat komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tentunya isu ini sengaja ditimbulkan untuk menutup kisah pemberian dana Umno kepada PAS yang sedang hangat diperkatakan, seperti yang diungkapkan sendiri Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam rakaman audio yang tular.

PAS perlu memberi penjelasan sama ada benar mereka menerima dana daripada Umno atau tidak kerana ahli-ahli parti itu dan rakyat berhak mengetahui kebenaran.

Pada masa sama, sebagai sebuah parti yang merestui pembohongan, tentunya segala sokongan yang dizahirkan terhadap Mahathir oleh pimpinan PAS tidak boleh dipercayai kerana mereka tidak pernah konsisten dalam menyatakan pendirian.

Saya kasihan melihat penyokong PAS yang terus dipergunakan demi kepentingan politik segelintir pemimpin mereka.

Hakikatnya hubungan sesama pimpinan dalam PH adalah utuh dan kuat.

Terlebih lagi bila gandingan mantap Mahathir dan Anwar Ibrahim dilihat berjaya memperkukuh kedudukan kerajaan dan PH.

Tentunya propaganda murahan ini adalah mainan pihak yang berasa dengki dengan keutuhan dan keakraban pemimpin PH.

Polemik ini juga sengaja ditimbulkan untuk mengucar-kacirkan hubungan baik di antara parti-parti kompenan PH.

Kerajaan yang ditadbir PH sedang giat mendukung agenda rakyat untuk merealisasikan segala janji demi memperbaiki Malaysia dari yang dirosakkan Umno dan BN.

Tentunya kerosakan teruk itu memerlukan masa untuk diperbaiki.

Justeru saya yakin gandingan mantap Mahathir bersama Anwar dan seluruh kepimpinan PH akan berjaya mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah naib ketua Pemuda PKR.

Surat ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen