malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya merujuk laporan media baru-baru ini tentang serangan yang dirancang oleh suspek pengganas ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru.

Saya tidak terkejut kerana Freemasonry di Malaysia telah disalah tafsir terlalu lama sebagai sebuah organisasi rahsia Zionis dan anti-Islam yang cuba mewujudkan ketuanan global.

Izinkan saya berkongsi fakta mengenai Freemasonry yang merupakan salah satu daripada persaudaraan tertua dan terbesar di dunia dengan keahlian sekitar lima hingga enam juta Mason.

Freemasonry sebenarnya merupakan satu persaudaraan yang bersifat aman dan amal serta tidak berlandaskan keagamaan, etnik atau politik.

Freemasonry, yang melampaui batasan etnik, agama, sosial dan pendidikan, mempromosikan pembangunan moral dan rohani antara manusia bawah naungan Tuhan.

"Persaudaraan tanpa sempadan" yang mulia ini adalah paling relevan dalam dunia kini yang tidak menentu serta terancam oleh perselisihan sektarian dan etnik untuk mempromosikan keamanan sejagat, pemahaman dan perpaduan.

Tiga prinsip utama Freemasonry ialah persaudaraan atau “brotherly love” (bersifat toleransi dan ramah antara satu sama lain); kebajikan atau “relief”(melakukan kerja amal dalam kalangan ahli serta komuniti secara umumnya); dan kebenaran atau “truth” (menuntut kebenaran dalam semua perkara, mengamalkan integriti dalam tindakan harian, dan mematuhi standard moral yang tinggi).

Berkenaan dengan kebajikan, para Mason di Malaysia telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit kepada pelbagai pertubuhan amal dan orang persendirian yang bersifat berbilang kaum dan agama.

Sesetengah pihak telah memberi gambaran yang salah tentang Freemasonry sama ada disebabkan oleh kejahilan atau dalam mengejar agenda tersendiri.

Saya ingin memperbetulkan beberapa tanggapan yang tidak adil serta tidak tepat mengenai Freemasonry.

Pertama, Freemasonry bukanlah sebuah pertubuhan rahsia; ia adalah pertubuhan dengan beberapa rahsia tertentu yang berkaitan dengan frasa, genggaman dan tanda-tanda – yang melaluinya para Mason mengenal pasti antara satu sama lain serta memaparkan tahap pencapaian masing-masing dalam pengetahuan Masonik.

Lebih penting lagi, peraturan perlembagaan, matlamat, prinsip, tempat pertemuan, dan keanggotaan pertubuhan masonik diketahui oleh pihak berkuasa.

Malah, pertubuhan masonik tempatan telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Kedua, Freemasonry bukan suatu agama atau badan keagamaan dengan hala tuju tertentu untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.

Juga tidak terdapat Tuhan "Masonik". Malahan, sebarang perbincangan agama adalah dilarang keras dalam mesyuarat masonik.

Freemasonry juga tidak mempromosikan kepercayaan agama tertentu. Para Mason bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Ketiga, Freemasonry bukanlah suatu gerakan Zionis dan juga tidak mengancam keamanan nasional Malaysia.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tun Hussein Onn menyatakan dalam Dewan Rakyat pada bulan Oktober 1978 berdasarkan kajian terperinci oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Majlis Hal Ehwal Islam Negara bahawa tidak ada bukti untuk membuktikan apa-apa hubungan antara Freemasonry dan Zionisme.

Beliau juga menegaskan bahawa "tidak ada bukti untuk mengatakan bahawa Freemasonry adalah suatu ancaman kepada negara "sama ada sebagai ancaman sosial atau sebagai ancaman keselamatan."

Keempat, Freemasonry tidak menyembah syaitan; tidak ada sebarang upacara pemujaan syaitan dalam mesyuarat masonik.

Selain itu, apa-apa yang diperjuangkan oleh Freemasonry adalah antitesis ajaran syaitan yakni kejuaraan kebaikan menentang kejahatan, keadilan menentang ketidakadilan, dan cinta persaudaraan menentang intoleransi dan kebencian.

Kelima dan akhirnya, Freemasonry bukan merupakan suatu perintah dunia rahsia yang cuba menegakkan ketuanan global.

Tiada terdapat satu badan tunggal atau berpusat yang memerintah Freemasonry sedunia.

Tambahan pula, para Mason dilarang keras membincangkan hal-hal politik semasa mesyuarat masonik.

Bagaimanapun, para Mason dinasihati untuk menjadi warganegara teladan dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara dan tegas mematuhi undang-undangnya.

Ringkasnya, Freemasonry bukanlah sebuah organisasi politik mahupun agama.

Freemasonry ialah organisasi sosial dan persaudaraan yang mempromosikan persaudaraan, keamanan, kebebasan beragama, integriti, standard moral yang tinggi, dan kewarganegaraan yang baik.


DR RANJIT SINGH MALHI
Kuala Lumpur

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen