Pengiklanan

    'Bawa pembangunan jika PH ingin ambil alih Kelantan'


    (Dikemaskini )

    Ramai dalam kalangan kita membicarakan soal perubahan, sama ada dalam bentuk ketamadunan masyarakat, sistem pentadbiran dan sistem kehidupan secara keseluruhannya.

    Dalam dunia politik di Malaysia, ketika rakyat di negeri lain berani membuat perubahan melalui sistem demokrasi demi mencari sebuah kerajaan yang lebih baik, malangnya perkara yang sama tidak berlaku di Kelantan.

    PAS, dilihat sinonim dan telah berakar umbi di negeri ini, sejak kejayaan mereka mengambil alih tampuk pemerintahan dari BN sejak dari tahun 1990 dahulu.

    Tidak dinafikan, PAS telah membawa perubahan dan kemajuan terutama dalam aspek penghayatan roh Islam sehingga membentuk pegangan dan jatidiri yang kukuh di kalangan rakyat Kelantan ini.

    Akan tetapi, setiap perubahan itu tertakluk kepada peredaran masa dan zaman. Sejak kematian almarhum Nik Abdul Aziz, yang dilihat bukan sekadar sebagai menteri besar Kelantan, bahkan dianggap sebagai ikon perubahan dan tokoh agama yang berpengaruh, negeri Kelantan dilihat sudah hilang sentuhan keramat yang sering menjadi kebanggaan anak negeri ini suatu ketika dahulu.

    Usaha pembaharuan dan penambahbaikan, tidak akan berfungsi dengan berkesan, jika wadah dan pembawaannya masih terikat pada cara yang lama.

    Masalah sama setiap tahun

    Oleh itu, sesuatu perlu diusahakan oleh Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, demi menawar dan membawakan dasar tajdid dan islah ini, bukan sahaja dari sudut keagamaan, bahkan dari sudut kemajuan dan pembangunan.

    Sebelum ini, kita sentiasa berbangga dengan ramainya anak negeri Kelantan yang keluar merantau mencari rezeki dan mencipta kejayaan di negeri orang.

    Akhirnya kita terlupa, bagaimana dengan negeri kita, dan mengapakah negeri kita tidak dapat menawar dan menampung serta memberi ruang dan peluang kepada anak Kelantan sendiri untuk berbakti berkhidmat mencurah tenaga dan usaha, sehingga mampu memaju dan membawa perubahan yang lebih positif di dalam negeri kita sendiri.

    Saban tahun, Kelantan sentiasa berhadapan dengan masalah yang sama, iaitu kekurangan peluang pekerjaan, masalah sistem jalan raya yang sesak dan pembangunan bandar serta desa yang tidak terancang.

    Tempat yang tepu dengan masalah yang sama tidak akan menghasilkan perubahan, jika tidak dimajukan dengan pembangunan yang seimbang.

    Di sinilah bermulanya masalah di atas, apabila dasar kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh BN sebelum ini, dilihat mengabaikan keperluan pembangunan di Kelantan.

    Akibatnya, rakyat Kelantan yang pada awalnya ketinggalan dari arus pembangunan semasa yang tidak setara sebagaimana di negeri lain, dilihat mula berada di dalam zon selesa.

    Apabila tiada kemajuan dan pembangunan pesat yang dijalankan, semangat perubahan di kalangan rakyat sendiri semakin merudum jatuh, dan akhirnya mewujudkan situasi enggan berubah dan tidak berani keluar dari kepompong lama kerana selesa dengan sekadar yang ada.

    Pertumbuhan ekonomi

    Dalam hal ini, jika PH ingin memenangi negeri Kelantan, maka kerajaan pusat tidak seharusnya melupakan aspek kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

    Mungkin kita boleh mulakan dengan penambahbaikan sistem jalan raya antara bandar, dan diteruskan dengan pembinaan lebuh raya yang akan menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain.

    Kemudahan infrastruktur jalan raya ini, bukan sahaja boleh mengurangkan masalah kesesakan amat teruk yang sinonim di bandar-bandar dalam negeri ini, bahkan ia boleh memacu pertumbuhan ekonomi secara domestik di antara negeri-negeri dalam Semenanjung ini.

    Apabila pertumbuhan ekonomi yang rancak berlaku hasil dari kemudahan jaringan perhubungan pengangkutan ini berlaku, ia akan mencipta lebih peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang relevan.

    Selain itu, pelancongan dalam negeri juga akan bertambah subur hasil dari kemudahan lebuh raya yang lancar ini.

    Apabila ekonomi mula rancak, peluang pekerjaan telah bertambah, limpahan kemasukan rakyat ke dalam negeri ini akan berlaku. Nah, disinilah proses asimilasi dan integrasi akan berlaku di antara rakyat berbilang bangsa dan budaya di negeri ini.

    Hasil dari kemajuan pembangunan bermanfaat ini bukan sahaja boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur ke arah yang lebih baik, ia juga bakal membawa perubahan dari segi budaya, sikap dan gaya hidup serta gaya berfikir di kalangan rakyat Kelantan sendiri.

    Semangat membawa perubahan dan pembaharuan di kalangan rakyat inilah yang akhirnya akan membawa gelombang perubahan politik yang akhirnya pasti akan memberi impak positif kepada PH sendiri dalam usaha untuk menjadikan Kelantan sebagai satu lagi negeri di bawah pentadbirannya.

    Gabungan kemajuan dari sudut duniawi dan pengukuhan serta penerapan agama dari sudut ukhrawi, akan menyaksikan hasil yang positif pada PH di Kelantan ini, pada pilihan raya umum yang akan datang.


    MUHAMMAD ARIFF BASHIRUDDIN MUHAMMAD RUSLI merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda PH Kelantan.

    Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.