Pengiklanan

G3 bantah lantikan Adun DAP di Yadim


(Dikemaskini )

Gagasan Tiga (G3) berpendapat, pelantikan wakil rakyat DAP sebagai ahli lembaga pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai pengesahan Amanah adalah 'balaci' sebenar DAP.

Sebagai bekas ahli seumur hidup DAP yang pernah bersekongkol dengan Amanah dalam banyak program sebelum PRU14, saya sememangnya sedar dan tahu betapa Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berada bawah telunjuk DAP.

Apabila saya terbaca berita menteri di JPM, Mujahid melantik wakil rakyat Melayu dari DAP sebagai ahli lembaga pengarah Yadim, saya langsung tidak terkejut, cuma berasa sedih kerana sekali lagi menteri Melayu beragama Islam sendiri yang membenarkan campur tangan bangsa DAP dalam institusi Islam.

Ia jelas suatu campur tangan bangsa DAP dalam institusi Islam kerana wakil rakyat Melayu dari DAP itu hanya 'pasu bunga' yang mana jiwanya dan tindak tanduknya adalah berlandaskan arahan pihak atasan bangsa DAP.

Saya yakin 'pasu bunga' DAP ini akan menerima arahan dari pemimpin atasan bangsa DAP untuk menjaga kepentingan bangsa itu dan bukannya sebagai komitmen untuk menjaga kepentingan Islam dan kaum Melayu.

Apa yang saya risau dan khuatir ialah pimpinan atasan bangsa DAP yang tidak ada roh Melayu, Islam dalam diri mereka akan mengabaikan dan menggugat kepentingan Islam dan kedudukan Melayu dalam Yadim.

Sebelum lebih banyak institusi Islam dirogol oleh bangsa DAP, seperti yang terjadi kepada Tabung Haji dan kini, Yadim, saya menggesa agar Mujahid menarik balik pelantikan 'pasu bunga' DAP ini dalam Yadim.

Gesaan ini bagi meredakan kegelisahan umat Islam dan Melayu di negara ini yang semakin keliru dan marah dengan tindakan bangsa DAP yang campur tangan dalam institusi yang melibatkan Islam dan Melayu.

Cukup-cukuplah menggunakan peruntukan khas menteri kewangan untuk menderma jutaan ringgit kepada kolej Cina tatkala negara kononnya mempunyai hutang yang cukup tinggi, kini Mujahid pula membiarkan bangsa DAP campur tangan dan uruskan institusi Islam seperti Yadim.

G3 merupakan gabungan lebih 53 pertubuhan NGO yang mengisytiharkan 'perang' ke atas bangsa DAP dan berpegang kepada prinsip Rukun Negara dalam perjuangannya selain mahu memartabatkan kedudukan agama Islam dan masyarakat Melayu.


AMRAN AHMAD NOR ialah timbalan pengerusi G3 dan ahli seumur hidup DAP (dipecat).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.