malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Jangan salahkan sesiapa melainkan diri sendiri
ADS

Kalau Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menjaga kebajikan Orang Asli dan mengotakan janji pilihan raya selama lapan bulan ini, perlukah Orang Asli mengundi BN di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands?

Jangan salahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Orang Asli sudah faham, Pakatan Harapan tidak akan penuhi hajat mereka dalam isu tanah adat.

Hanya protes sebegini akan membuatkan kerajaan memandang kaum asal minoriti ini.

Setiap masalah mereka hanya dijawab dengan kami akan meneliti, kaji dan kita akan bincang. Tetapi lapan bulan telah berlalu.

Menterinya bercakap tentang parti baru untuk kaum India. Mana perpaduan dan kebajikan Orang Asli? 

Melawat kampung Orang Asli, pakai kalung bunga dan berpesta sahaja bukan tugas menteri. Bukan itu yang Orang Asli hendak.

Mereka perlukan satu kementerian khas untuk menjaga kebajikan mereka dan seseorang yang ikhlas, bukannya seorang yang menggunakan jawatannya untuk membuka dan memperkasa parti kaumnya sendiri.

Jakoa harus dirombak semula. Jakoa harus diletakkan bawah Kementerian Luar Bandar atau Kementerian Perdana Menteri, bukan bawah Jabatan Perpaduan.

Kekalahan PH di Cameron Highlands adalah hanya kerana hati Orang Asli diguris dengan janji manis dan ketidakhirauan tentang kebajikan mereka.

Mana mungkin seorang menteri yang berazam membuka parti kaumnya sendiri menjaga kebajikan dan perpaduan semua kaum!

Kekalahan yang memalukan ini hanya kerana salah seorang yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan gagal melaksanakan tugas dengan sempurna.

Pemimpin PH sendiri berkata kekalahan ini adalah kerana isu kaum.

Sekiranya menteri perpaduan buat tugas dengan betul, mana mungkin isu kaum ini timbul, lebih lebih lagi dari mulut calon itu sendiri.

Selamat maju jaya PH untuk pilihan raya lain di masa hadapan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen