Pengiklanan

    PH kena ubah isi, kaedah kempen jika mahu menang


    (Dikemaskini )

    Sentimen perkauman dan agama merupakan modal paling laris buat parti pembangkang untuk dijadikan bahan dalam kempen PRK Kecil Cameron Highlands.

    Antaranya, isu rusuhan kuil hingga menyebabkan kematian seorang anggota bomba.

    Namun harus diketahui, ia juga bukanlah satu-satunya faktor PH gagal merampas kerusi parlimen Cameron Highlands.

    Isu perkauman dan agama digunakan PAS dan Umno sejak sebelum PRU ke-14 lagi, dan kita menyaksikan kemenangan memihak kepada PH.

    Strategi BN dan PAS pada waktu itu ibarat masakan kari yang tidak cukup rempah. Kegagalan mereka mewujudkan kerjasama politik sesama kedua-dua parti tersebut menyebabkan undi Melayu yang menolak PH terbahagi dua, iaitu 50 peratus untuk BN, manakala kira-kira 20 peratus memilih PAS.

    Kerjasama politik Umno dan PAS selepas PRU ke-14 melengkapkan strategi ampuh mereka dengan menggunakan sentimen kaum dan agama.

    Ia berjaya menarik undi sebahagian besar orang PAS kepada BN dan akan menampung kekurangan sokongan kepada Umno, sekaligus mampu mengatasi undi Melayu yang menyokong PH.

    Memang diketahui PAS mempunyai kekuatan dalam gerakan mengerah anggota partinya. Justeru PAS mampu mengarahkan mereka mengundi DAP pada PRU ke-12 dan ke-13.

    Usaha yang sia-sia

    PAS kemudian mengarahkan anggotanya mengundi calon BN semasa PRK Sabtu lalu tanpa banyak masalah kesan daripada doktrin kepimpinan ulama dan walak mereka.

    Setiap tindakan yang dikeluarkan pemimpin dengan justifikasi tertentu akan dituruti tanpa dibahaskan oleh anggota parti peringkat bawahan.

    Kelebihan itu hanya ada pada PAS, dan tidak pada parti lain di Malaysia.

    Faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan PH di Cameron Highlands ialah, kerusi itu memang kubu kuat BN sejak puluhan tahun.

    Maka modal kempen seperti 1MDB, kerjasama PAS dan Umno, hutang negara dan seumpamanya tidak laku untuk dijual kepada pengundi.

    Apabila pimpinan PH masuk ke kampung kampung membawa isu berkenaan, ia hanya menjadi usaha yang sia-sia.

    Sepatutnya penceramah PH yang ditugaskan berkempen melakukan kaji terlebih dulu terhadap sikap dan sifat pengundi tempatan, sambil mengelak mengulang isu sama seperti menjelang PRU ke-14.

    Selama puluhan tahun berkuasa, antara strategi BN untuk mendapat sokongan ialah dengan membeli undi masyarakat tempatan. Ia menjadi senjata mereka yang tidak akan boleh ditandingi PH.

    Jadi untuk beberapa tempoh PH perlu bergerak di peringkat akar umbi mengumpul sokongan masyarakat tempatan. Ia mungkin memakan masa sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-15.

    Namun untuk menguasai parlimen yang terdiri daripada kaum Orang Asli yang menjadi deposit tetap BN, ia merupakan satu keperluan.

    Faktor calon turut menyumbang kepada penolakan rakyat. Beberapa tindakan calon PH seawal kempen bermula hingga hari mengundi merosakkan harapan untuk menguasai Cameron Highlands.

    Mahu harga turun

    Ia bukan saja menjadi faktor penolak kepada pengundi setempat, malah dalam kalangan masyarakat di luar dan ia dapat dilihat melalui reaksi orang ramai di media sosial.

    Tidak sedikit penyokong PH turut meraikan kekalahan M Manogaran.

    Pada masa depan PH mesti lebih teliti dalam soal pemilihan calon agar individu yang dipilih. Biarlah dia tidak popular dalam masyarakat tetapi tidak pula menjadi orang yang tidak disenangi ramai.

    Ketidakmampuan kerajaan PH menunaikan janji populis terutamanya dalam isu harga minyak dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedikit sebanyak mempengaruhi undi orang muda.

    Statistik menunjukkan BN menang dikebanyakan saluran orang muda. Ia boleh dianggap sebagai protes golongan terbabit.

    Memanglah mengikut manifesto PH menyatakan kerajaan akan menstabilkan harga minyak jika mereka diberi mandat oleh rakyat.

    Namun rata-rata masyarakat melihat janji lebih daripada sekadar menstabilkan harga minyak, sebaliknya menurunkan harga bahan itu.

    Sebagai parti pemerintah, kandungan serta tema ceramah PH perlu diubah, daripada menuding jari kepada pihak pembangkang, kepada mempromosi diri.

    Pemimpin PH juga tidak perlu lagi menggunakan isu kerjasama PAS - Umno sebagai modal kempen. Terimalah hakikat bahawa penyokong PAS sudah menerima kerjasama berkenaan walaupun kita sudah bercakap benar sebelum PRU lalu.

    Pimpinan PH tidak boleh menganggap rakyat seperti katak di bawah tempurung dan datang berkempen dengan isu kerjasama Umno - PAS seolah-olah ia isu baru.

    Apa yang ingin diketahui rakyat ialah mengapa tiada pendidikan percuma, kenapa harga minyak tidak turun sebagaimana dibayangkan oleh mereka, dan seumpamanya.

    Lebih baik jika menteri yang turun berkempen, dia bercerita tentang dasar kementerian dan apa yang sudah dibuat.

    Cukuplah cerita kerjasama PAS dan Umno itu.

    Amat malang jika pemimpin PH tidak menggunakan peluang itu untuk menerangkan kejayaan kerajaan baru.

    Sebagai parti pemerintah PH perlu lebih mempromosi kebaikan kerajaan berbanding menjaja keburukan lawan.

    Semoga PRK Semenyeh menjadi permulaan baru dalam pendekatan kempen PH.


    Muammar Qaddafi Mohd Nasir ialah pengarah komunikasi Pemuda Amanah Terengganu.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih