malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan komited untuk memajukan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam merancang dan menguruskan kesejahteraan Orang Asli berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan masyarakat ini.

Selain daripada pembangunan fizikal, kemajuan yang dirancang Jakoa juga mengambil kira nilai-nilai murni kebudayaan, kepercayaan, gaya hidup dan adat resam masyarakat ini.

Jakoa amat menghormati institusi tok batin/penghulu dalam kalangan suku kaum masyarakat Orang asli di negara ini.

Institusi tok batin/penghulu kampung Orang Asli adalah pentadbiran sesebuah kampung yang berbentuk hierarki yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi.

Pelantikan mereka dibuat melalui keturunan dengan tok batin/penghulu yang meninggal dunia hendaklah digantikan oleh anaknya.

Tok batin/penghulu bertanggungjawab terhadap isu-isu kebudayaan dan adat resam sahaja.

Namun pada masa kini fungsi tok batin/penghulu lebih meluas iaitu turut meliputi perkara-perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Di samping tok batin/penghulu sesebuah perkampungan Orang Asli juga diuruskan oleh badan yang lebih progresf yang dinamakan sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA).

Anggota majlis itu dilantik secara undian oleh penduduk tanpa mengira latar belakang politik dengan mematuhi tatacara yang ketat.

Anggota MPKKOA dipilih secara undian pada setiap dua tahun dan ia menjadi ranting kepada pentadbiran Jakoa di peringkat kampung.

Kedua-dua institusi ini merupakan inisiatif kerajaan persekutuan ke arah pengurusan pembangunan manusia yang lebih berkesan.

Malah mereka juga turut dibayar elaun bulanan oleh kerajaan persekutuan.

Jakoa sekali lagi menegaskan akan memberikan komitmen tertinggi demi memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara sentiasa diberikan perhatian.

Jakoa yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri juga melakukan perancangan teliti supaya segala inisiatif yang dirangka akan berjaya direalisasikan.


AJIS SITIN ialah ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen