malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya berada di Seoul menghadiri persidangan antarabangsa, dan terkejut melihat kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah kuil di Putra Height, Selangor. Ia memberi gambaran kesukaran cita-cita baharu kerajaan untuk melihat hubungan kaum yang lebih erat pasca PRU14. Ada sesuatu yang masih belum berubah, dan ia perlu segera diselesaikan. Selangor adalah negeri termaju di Malaysia dengan KDNK sentiasa melebihi peringkat nasional. Kemajuan negeri Selangor daripada sudut fizikal, kewangan, pelaburan, pendidikan dan perbankan tidak boleh dinafikan. Namun, ternyata ia bukan jaminan kepada ketenteraman dan keamanan di negeri tersebut.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia belum matang lagi selepas melalui pahit manis 62 tahun merdeka, 14 kali pilihan raya umum dan tujuh perdana menteri? Adakah kerajaan di peringkat negeri dan tempatan belum perkasa lagi? Mari kita melihat dunia luar. Ketika saya menetap sekejap di USA, saya menetap berdekatan dengan sebuah masjid dan di seberang jalan masjid itu adalah sebuah gereja. Sepanjang saya duduk di situ, tidak pernah berlaku pergaduhan agama apatah lagi rusuhan. Masing-masing memahami hak masing-masing. Walaupun masyarakat di situ pelbagai latar belakang dari Eropah, Arab dan Amerika bercampur gaul dalam sistem demokrasi yang matang, sistem kerajaan yang cemerlang dan sistem sosial yang telah teruji. Saya melihat kerajaan mempunyai niat ke arah itu, tetapi sebahagian rakyat Malaysia masih belum bersedia.

Saya melihat hubungan kaum di Semenanjung Malaysia perlu berubah atau diubah. Contohilah dua negeri di Borneo. Di Sabah dan Sarawak, mereka yang berlainan agama, berbeza kaum dapat hidup bersama malah duduk bersama, makan dalam restoran bersama dengan mengekalkan sensitiviti penganut masing-masing seperti makanan halal. Ini kurang berlaku di Semenanjung Malaysia. Bagi saya, di Semenanjung Malaysia perlu diwujudkan satu formula yang lebih konkrit. Program perpaduan kurang berjaya. Ia hanya berjaya dalam kaum masing-masing sahaja, dalam agama mereka sahaja tetapi di luar kepompong ia selalu bermasalah. Sebab itu saya mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan polisi baharu iaitu Dasar Patriotik Negara. Rakyat kita kurang ketahanan nasional, kurang ketahanan sosial, tahap patriotik rendah dan rapuh di dalam hati sanubari mereka. Mereka mengibarkan bendera yang sama di tangan mereka, tetapi bendera itu tidak berkibar di dalam hati mereka.

Semasa saya menetap di kampung sewaktu kecil dahulu, kami bergaul dengan orang Cina yang menjalankan perniagaan kedai runcit, semua orang Melayu dan India membeli di kedai runcit Cina dan tidak pernah ada isu. Orang India dari Semenanjung Malaysia dibawa masuk ke Sabah untuk menjadi penoreh getah dan syarikat ladang membina kuil Hindu di tengah-tengah ladang walaupun penganutnya hanya dua tiga orang. Apabila orang-orang India pulang semula ke Semenanjung Malaysia, kuil tersebut dirobohkan. Tidak ada bantahan dan rusuhan. Saya masih ingat rakan Cina saya memperoleh markah Pendidikan Islam lebih tinggi daripada kebanyakan murid-murid Islam. Semasa Hari Raya, kawan Cina saya ini meminjamkan bajunya dan saya memakainya dengan gembira. Akhirnya dia memberikan baju itu sebagai hadiah. Nilai-nilai ini masih wujudkah dalam sistem sosial kita pada zaman serba moden ini?

Dasar Patriotik Negara

Kita sekarang bercakap mengenai visi, cita-cita dan cara baharu yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan. Perdana menteri baru-baru ini bercakap di Langkawi bahawa perkhidmatan awam sudah pulih. Ia suatu paradigma yang bagus, bagi kita yang sudah lama dalam kerajaan, kita memahami falsafah kerja Dr Mahathir Mohamad. Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyebut kerajaan memerlukan masa tiga tahun untuk menstabilkan ekonomi negara. Kedua-dua pemimpin ini bercakap tentang masa. Persoalan seterusnya, adakah rakyat juga perlu masa untuk berubah mengenai cinta dan kasih kepada negara. Merusuh dan mencederakan itu bukan cinta dan kasih. Itu tanda-tanda tidak patriotik. Mereka yang patriotik perlu memiliki nilai kasih dan sayang jelas dan nyata. Tidak ada di dalam dunia ini sesebuah negara hanya memiliki satu warna kulit sahaja atau satu agama sahaja atau satu bahasa sahaja. Rakyat perlu sedar, Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dengan kepelbagaian kaum jua. Apakah yang mengikat mereka? Jawapannya mudah kembali mengamalkan Rukun Negara yang saya sebut sebagai Dasar Patriotik Negara.

Dasar Patriotik Negara tidak perlu bajet yang besar. Kita sudah ada kelengkapan lama yang ditinggalkan oleh PLKN dan BTN. Kita memiliki kelengkapan teknikal dan logistik di ATM, PDRM dan agensi-agensi keselamatan yang lain. Yang kita belum ada ialah Dasar Patriotik Negara. Ia tidak jelas di negara kita. Sebabnya mudah, sesetengah daripada kita sejak dahulu hanya fokus kepada ekonomi dan politik sahaja. Walhal, tanpa patriotisme ekonomi dan politik sesebuah negara akan hancur. Rusuhan di Seafield baru-baru ini adalah angkara kurang nilai patriotik oleh semua pihak yang terlibat. Tidak boleh hanya salahkan satu-satu pihak. Ini adalah tanggungjawab sosial. Hormat menghormati adalah tanggungjawab sosial.

Kesimpulannya, adakah kita masih ada masa lagi? Ketahuilah, rusuhan dan konflik tidak menunggu masa.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI ialah pengkaji dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan dengan minat terhadap usaha pembinaan negara, keselamatan dan patriotisme.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen