malaysiakini logo
story-image
ADS

Maafkan kami, Adib

Adib,
Namamu tak pernah disebut-sebut,
Hanya ayah, ibu, saudara dan tunangmu yang menyambut,
Tiap kali engkau pulang setelah bertugas, 
tunangmu mungkin terasa ingin mengikut,
Berjanji satu hari nanti kamu bersamanya akan hidup 
sehingga tibanya maut

Adib,
Kamu tidak sesekali menyangka,
Terperangkap dalam sengketa,
Yang kamu tahu hanya menyahut panggilan
untuk bertugas tanpa bertanya,
Apakah tugas biasa ataukah merbahaya

Adib,
Seluruh negara tiba-tiba tersentak mendengar berita,
Engkau bergelut untuk menyelamatkan nyawa,
Rupanya bila manusia hilang timbang rasa,
Engkau pula yang menjadi mangsa

Adib,
Negara ini telah ditatang untuk anak muda seperti kamu,
Agar diwarisi sehingga ke anak cucu,
Yang berlain kaum, agama dan hidup berukun damai, itulah pesan ibu,
Jangan sekali-kali engkau sia-siakan tanah air ini milik bangsamu

Adib,
Air mata kami mengalir mengenangkan derita yang kamu lalui,
Kenapa nyawamu tidak dihargai,
Bukankah kita berjanji hidup bersama di tanah pertiwi ini,
Bumi bertuah tempat lahirmu menjadi saksi,

Adib,
Kamu hanyalah seorang warga yang mahu hidup biasa,
Negara yang makmur ingin dinikmati bersama,
Tidak ada yang harus berprasangka dan mencuriga,
Si Mamat, si Ah Chong, si Ramasami, bukankah rakan kita belaka

Adib,
Engkau dipaksa membayar harga dari sebuah pertelingkahan,
Mereka tidak kisah untuk apa harus berbunuhan,
Peduli apa kepada negara dan warga yang akan berberontakan,
Asal puas mendapat upah yang hanya seratus dua yang memalukan

Adib,
Kami semua bersalah dari sebuah kealpaan,
Saling mencuriga dan tidak mahu bermaafan,
Lalu engkau berada di tengah-tengah persengketaan,
Inilah natijah dari keegoaan yang tidak kenal sempadan

Adib,
Aku terkelu dan sukar mencari kata-kata,
Berita pemergianmu, tidak disangka,
Aku masih mengharap, engkau boleh berbicara,
Mengkisahkan pesan kepada anak cucu kita,
Jangan berulang lagi babak yang meluka,
Negara ini bakal kita wariskan kepada seluruh anak bangsa

Adib,
Damailah kamu di pusara, yang akan tercatat dalam sejarah,
Aku mengharap seluruh warga turut mengambil ibrah,
Bahawa Tuhan berpesan, hiduplah dengan pasrah,
Dalam rasa keinsanan dibina ukhwah,
Kami berazam tidak akan mengulangi permusuhan yang membawa belah

Sesungguhnya negara ini terlalu mahal dan terlalu indah 
untuk dibiar punah.

1.09 pagi
18 hb Dis 2018
Shah Alam, Selangor


Puisi ini dinukilkan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Azmi Hamid, dan didedikasikan buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang menghembuskan nafas terakhir 9.41 malam semalam.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 27 Nov lalu.


Lihat Komen