malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Demi berdagang dengan China, negara Islam abai nasib Uighur
ADS

Majlis Perundingan Pertubuhan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah sekeras-kerasnya penindasan yang sedang berlaku ke atas etnik Uighur Muslim dan umat Islam di China oleh kerajaan negara itu.

Isu yang sudah lama berlaku sejak wilayah Xinjiang diambil alih Republik Rakyat China pada 13 Oktober 1949 sehingga hari ini tidak diberi perhatian oleh dunia. Malah sikap kebanyakan negara Islam nampak seperti telah meletak ke tepi nasib etnik Uighur hanya kerana mahu meneruskan hubungan perdagangan dengan China.

Keadaan etnik Uighur di Xinjiang menjadi sasaran kerajaan China yang bersikap keras atas alasan mereka dituduh terlibat dengan gerakan pemisah.

Sejak tahun lalu. kerajaan China bukan saja telah meningkatkan penindasan ke atas etnik Uighur malah juga terhadap orang Islam. Malah kerajaan negara itu menganggap Islam sebagai penyakit mental. Kini kalangan Uighur yang berada dalam kem tahanan - atau lebih tepat penjara - dilaporkan sudah mencecah sejuta orang. Kerajaan kononnya mendakwa mereka ditempatkan dikem latihan, padahal ia adalah penjara.

Berita penindasan sekarang terutama ke atas etnik Uighur khasnya dan rakyat Muslim China sangat menyedihkan. Berikut adalah beberapa dakwaan penindasan yang dialami mereka;

  • Wanita Muslim dipaksa membuka hijab.
  • Pakaian jubah mereka yang menutup sampai ke kaki, digunting sehingga ke atas lutut.
  • Pemuda berumur kurang daripada 18 tahun tidak dibenar masuk ke masjid.
  • Mereka yang kerap ke masjid ditahan kerana dianggap fanatik agama.
  • Petugas kerajaan beragama Islam dilarang berpuasa.
  • Anak-anak Muslim tidak dibenar mendapat pendidikan agama sama ada dalam negara mahupun di luar negara.
  • Semua komunikasi dipantau termasuk emel dan telefon bimbit.
  • Mereka yang menunaikan haji ditahan atau disoal selepas pulang.
  • Orang Islam dari China dipantau di luar negara, termasuk pemantauan ke atas akaun bank dan segala komunikasi.
  • Pasport mereka yang keluar dari China disemak dengan ketat dan siasatan dilakukan untuk memastikan mereka tidak mempunyai apa-apa kegiatan berkaitan dengan Islam.

Penangkapan dan penyeksaan yang sangat zalim dilakukan ke atas penganut Islam terutama etnik Uighur dengan tidak mempedulikan hak asasi manusia atau undang-undang antarabangsa.

Kes pelajar dari China yang beragama Islam datang untuk belajar di Malaysia juga tidak terlepas daripada pemantauan dan amaran kerajaan China.

Kini sedikit demi sedikit maklumat daripada mangsa penindasan ini mula ditularkan di seluruh dunia melalui media sosial walaupun kerajaan China dengan mudah menafikannya.

Kerajaan China tidak boleh menafikan pencabulan hak asasi manusia yang semakin terdedah. Walaupun negara itu sangat agresif menjalinkan hubungan perdagangan antarabangsa, namun penindasan yang dilakukan ke atas rakyat beragama tidak boleh diselindung lagi dan dunia Islam tidak boleh mendiamkan diri. Kepentingan keselamatan dan kebajikan serta hak kaum Muslimin khususnya dan juga penganut agama lain di negara tersebut mesti dijamin.

Malaysia sebagai orang tengah

Kami mengesa kerajaan Malaysia tidak mengenepikan hak dan keselamatan etnik Uighur Muslim dan kaum Muslimin China keseluruhannya hanya kerana hendak menjaga perdagangan mahupun pelaburan China di Malaysia.

Mesej yang jelas dan tegas perlu disampaikan kepada kerajaan China melalui saluran diplomatik atau saluran pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan OIC. Malaysia perlu menjelaskan kepada kerajaan China bahawa tanggapan negatif mereka terhadap agama khususnya Islam mesti diperbetulkan jika negara itu mahu terus mengadakan hubungan dengan negara-negara Islam.

Malaysia juga perlu mempertahankan hak etnik Uighur di Malaysia sendiri dan tidak tunduk kepada tekanan China jika jelas mereka tidak melanggar undang-undang di negara ini.

Mapim mengesa agar Malaysia mengambil peranan sebagai orang tengah antara kaum Uighur khususnya dan kaum Muslimin amnya dan kerajaan China. Ini untuk mencari jalan penyelesaian yang akhirnya dapat mewujudkan suasana yang damai dan lebih kondusif demi membina semula hubungan tamadun antara Islam dan China.

Kami juga menyeru agar kerajaan Turki dilibatkan dalam proses perundingan sebagai satu usaha multilateral dalam hubungan OIC dan kerajaan China demi menjaga keamanan geopolitik yang lebih terjamin.

Rundingan ini tidak harus dilihat sebagai campur tangan dalam urusan negara China tetapi demi memelihara keamanan rantau serta membina masa depan yang lebih kondusif untuk menikmati dunia yang lebih damai dan bermanfaat untuk semua.


MOHD AZMI ABDUL HAMID adalah presiden Mapim.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen