malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Lembaga Tabung Haji ditubuhkan pada September 1963 dengan penyimpan atau pendeposit seramai 1,281 orang dan jumlah simpanan hanya RM46,610.

Pada tahun 2017 jumlah pendeposit seramai 9.3 juta orang dan jumlah simpanan sebanyak RM70,780 juta atau RM 70.78 bilion. Tahun 2018 jumlah simpanan dikatakan mencecah RM73 bilion.

1.3 peratus atau 117,000 daripada lebih 9.3 juta pendeposit ini menyumbang kepada lebih 50 peratus simpanan Tabung Haji. Ada seorang pendeposit yang mempunyai lebih RM190 juta simpanan.

Ini bermakna Tabung Haji sudah jadi tabung orang kaya di samping menjadi simpanan bagi mengerjakan ibadah Haji.

Tabung Haji hanya dikawal oleh Akta Tabung Haji 1995. Bank Negara Malaysia (BNM) tiada kuasa untuk mengawalnya. BNM ada kuasa mengawal bank-bank komersial tetapi tidak Tabung Haji. Wang simpanan berjumlah RM73 bilion itu selama ini hanya dikawal oleh satu akta sahaja!

Wang pendeposit Tabung Haji dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan perlu bayar sepenuhnya jika berlaku sesuatu terhadapnya. Tiada had untuk pendeposit menyimpan, berbeza dengan ASB atau KWSP. Risiko terhadap kerajaan amat tinggi.

Pada tahun 2015, Gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz telah mengeluarkan surat amaran kepada pengurusan Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Jamil Khir Baharom. BNM menyatakan Tabung Haji mempunyai liabiliti lebih besar berbanding aset.

Amaran itu tidak dipedulikan kerana BNM tiada kuasa memantau Tabung Haji.

Hari ini, setiap 80 sen aset yang dipegang lembaga itu menanggung nilai liabiliti sebanyak RM1. Seksyen 22 Akta Tabung Haji menyatakan bahawa ia tidak boleh membayar dividen dan bonus kepada pendeposit jika asetnya bernilai lebih rendah berbanding liabiliti.

Pada Februari 2018, tiga bulan sebelum PRU ke-14, Tabung Haji telah mengumumkan dividen sebanyak 4.25 peratus kepada pendeposit dan tambahan 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum mengerjakan haji pada Tahun Kewangan 2017. Ketika itu liabiliti Tabung lebih tinggi daripada aset.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap pihak pengurusan lama Tabung Haji. Mereka dibuktikan melakukan pecah amanah, cuai atau melanggar undang-undang hendaklah segera dibawa ke muka pengadilan.

Tabung Haji mesti diselamatkan.


Hassan Karim adalah Anggota Parlime Pasir Gudang.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen