malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
'Kerajaan berlembut sangat nak kekang tularan berita perkauman'
ADS

Pemuda Amanah kesal dengan sikap kerajaan yang terlalu berlembut dengan penyalahgunaan internet dan media sosial khususnya penyebaran berita berunsur hasutan perkauman atau berita palsu.

Kami kesal dengan sikap kerajaan menggantung penggunaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam penyiasatan dan pendakwaan atas alasan ia menzalimi rakyat.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa tidak mempunyai alternatif untuk menggantikan seksyen berkenaan.

Akibatnya masyarakat kini bermaharajalela menyebar berita palsu dan berbau perkauman di dalam talian. Peristiwa Kuil Sri Maha Mariaman menjadi bukti bagaimana berita palsu serta perkauman berjaya membangkit kemarahan penduduk.

Pemuda Amanah juga mempersoalkan kenapa seksyen 233 itu disekat penggunaan sebelum kita mempunyai undang-undang lain yang seumpamanya.

Kerajaan sepatunya mempunyai undang-undang lain sebelum menyekat seksyen 233.

Adakah kerajaan ingin memperjudikan keselamatan dan ketenteraman negara semata-mata kerana ingin mengambil hati pengundi dan menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto?

Hormati keputusan mahkamah

Pemuda Amanah mengingatkan kerajaan, Malaysia terbentuk melalui latar belakang sosial, budaya, dan pegangan agama yang berbeza.

Antara faktor yang membolehkan perpaduan dan keharmonian dapat dikekalkan ialah melalui undang-undang yang mantap dan penguatkuasaan yang tegas.

Kami mengingatkan, selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya, negara kita apa-apa perbuatan yang berupa ancaman terhadap keharmonian dan perpaduan kaum sebagai kesalahan yang amat serius.

Justeru terhasillah pelbagai akta bagi mengangani masalah ini.

Antara undang-undang yang baik untuk mengekalkan perpaduan dan ketenteraman kaum ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 233 ini bukan digubal untuk tujuan politik sebaliknya untuk menjadikan penyalahgunaan internet - seperti menyebarkan komunikasi bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengancam atau mengganggu orang lain - sebagai kesalahan.

Ia seterusnya dapat memelihara ketenteraman awam.

Pemuda Amanah meminta kerajaan menghormati keputusan mahkamah tinggi yang mengiktiraf seksyen 233 sebagai mematuhi perlembagaan.

Ssemua kes berkaitan seksyen 233 akta itu - seperti Nor PP lawan Hisham Osman, PP lawan Syarul Ema Rena, PP lawan R Sivarasa, PP lawan Fahmi Reza - memutuskan bahawa ia konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga merupakan undang-undang yang mantap (good law and settled law).

Kami menegaskan pendirian kerajaan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai draconian dan terbuka kepada salah guna tangkapan, siasatan dan pendakwaan adalah tidak tepat sama sekali.

Di Malaysia, tiada ruang untuk salah guna tangkapan, siasatan dan pendakwaan sedemikian kerana budi bicara untuk mendakwa terletak pada pendakwa raya seperti termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Kepeercayaan perlu diletakkan kepada pendakwa raya selaku pemegang amanah untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhan.

Dengan ini Pemuda Amanah menyatakan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta 588 adalah undang-undang sah, yang digubal parlimen untuk meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat yang dirasakan perlu demi menjaga ketenteraman awam dan moral, serta tindakan legislatif sesuai dengan objektif yang hendak dicapainya.

Kami khuatir jika tidak dibendung ada bahaya lebih besar dan akan mengganggu rentak kehidupan bermasyarakat yang hidup dalam aman dan tenteram.

Kekacauan inilah yang cuba dibendung seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


MOHD SANY HAMZAN ialah ketua Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen