malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Surat
IPT perlu lahirkan graduan prihatin isu masyarakat
ADS

Persatuan Akademia Ikram mengalu-alukan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai tugas asasi Insitusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk melahirkan graduan yang holistik, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Akademia Ikram percaya pendidikan adalah suatu proses bagi membina insan yang berkemampuan membangun kemandirian dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah peradaban yang sejahtera demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh itu Akademia Ikram menyokong saranan menteri pendidikan supaya universiti melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu dan keterampilan, tetapi juga warga yang baik yang cakna dan prihatin terhadap isu-isu kelestarian alam sekitar dan kemasyarakatan.

Akademia Ikram ingin mencadangkan agar nilai-nilai integriti, kegembiraan, kasih-sayang dan saling menghormati dipupuk dari bangku sekolah dan berterusan sehingga ke IPT melalui pembentukan kurikulum yang bersesuaian.

Banteras nilai negatif

Untuk tujuan itu, nilai-nilai yang baik patut diberi galakan manakala nilai yang negatif, sekiranya wujud, hendaklah dibanteras sama sekali sesuai dengan kedudukan IPT sebagai pusat penyebaran ilmu dan rujukan kepada masyarakat.

Akademia Ikram juga bersetuju dengan menteri pendidikan supaya keghairahan mengejar ranking dikawal dengan memastikan agar ranking benar-benar mencerminkan prestasi berdasarkan asas-asas kecemerlangan universiti yang betul tanpa menggunakan langkah-langkah yang tidak beretika.

Akademia Ikram juga percaya bahawa kecemerlangan universiti tidak hanya berpaut kepada ranking. Namun ranking, sekiranya dilaksanakan dengan betul, penting dan berguna untuk beberapa tujuan:

a) Sebagai penanda aras sistem pendidikan tinggi berbanding amalan terbaik antarabangsa;

b) Sebagai salah satu ukuran daya saing negara dan kesejahteraan masyarakat; dan

c) Menjadi daya tarikan bagi pelajar, terutama pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke IPT di Malaysia.

Ini sejajar dengan langkah kerajaan kita memastikan pelajar yang diberi biasiswa supaya hanya melanjutkan pengajian ke Universiti terkemuka di dunia.

Pelajar antarabangsa yang akan ke Malaysia juga akan mempertimbangkan ranking universiti kita.

Sehubungan dengan itu, Akademia Ikram ingin juga mencadangkan supaya IPT di Malaysia diberi pilihan untuk menentukan hala tuju serta keterlibatan mereka dalam ranking, selaras dengan autonomi universiti yang dipacu menteri pendidikan.


DR SAHRIM AHMAD ialah Pengerusi Persatuan Akademia Ikram Malaysia dan seorang Profesor Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen