malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan Mawar Medical Centre
ADS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk laporan akhbar-akhbar arus perdana bertarikh 7 Nov 2018 berhubung arahan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan ke atas Mawar Medical Centre (MMC).

Arahan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan yang dikeluarkan KKM pada 5 Nov 2018 itu melibatkan semua perkhidmatan kecuali perkhidmatan hemodialisis.

Tindakan tersebut diambil berikutan peletakan jawatan semua pengamal perubatan pakar di pusat perubatan berkenaan yang berkuat kuasa 1 Nov lalu, kecuali seorang pakar nefrologi yang memberikan notis untuk meletakkan jawatan pada 1 Dis 2018.

Notis-notis peletakan jawatan tersebut telah diterima secara rasmi oleh KKM pada 5 Nov 2018.

Peletakan jawatan pakar-pakar tersebut menyebabkan pemegang lesen hospital gagal memastikan setiap perkhidmatan yang dilesenkan kini dikendalikan oleh pakar yang berkelayakan pada setiap masa.

Perkara ini telah menyebabkan pelanggaran Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Ketiadaan pakar-pakar terbabit untuk memberikan perkhidmatan yang dilesenkan kepada Mawar Medical Centre akan memudaratkan kepentingan orang awam, seperti yang ditetapkan

Susulan itu, KKM telah mengadakan satu perbincangan bersama pihak MMC pada 9 Nov yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

KKM meneliti penjelasan yang diberikan oleh premis dan sehubungan itu mengeluarkan surat bertarikh 12 Nov untuk memaklumkan keputusan yang berikut:

  • MMC diberikan tempoh dua bulan dari tarikh surat tersebut untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pelesenan Mawar Medical Centre; dan
  • Arahan Kementerian melalui surat bertarikh 5 Nov 2018 masih terpakai, iaitu
  1. Pihak MMC perlu mengemukakan permohonan pindaan lesen bagi menggugurkan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilesenkan (selain hemodialisis), serta menurun taraf jenis kemudahan jagaan kesihatan daripada hospital swasta kepada pusat hemodialisis swasta; dan
  2. MMC tidak boleh beroperasi tanpa pakar yang berkelayakan, pada bila-bila masa.
  • Sekiranya gagal mematuhi syarat yang dinyatakan di atas, KKM akan mengambil tindakan undang-undang selaras dengan Akta 586.

KKM ingin menegaskan bahawa apa jua tindakan yang diambil adalah demi menjaga kepentingan dan keselamatan pesakit serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan.


DR DZULKEFLY AHMAD ialah Menteri Kesihatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen