malaysiakini logo
story-image
ADS

Saban hari jumlah pelarian Rohingya dilihat sentiasa meningkat, sehingga lebih 1.3 juta orang keluar dari negara mereka sendiri. Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan dari negara lain sejak Ogos yang lalu kerana krisis kemanusiaan di Myanmar tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Senario ini dilihat langsung tidak memberi kesan kepada kerajaan Myanmar walaupun hampir seluruh dunia mengecam krisis kemanusiaan yang berlaku di negara tersebut.

Media-media tempatan dan antarabangsa turut melaporkan hampir setiap hari pelarian Rohingya merentasi lautan dengan menaiki bot-bot kecil menuju ke Malaysia, Thailand dan lain-lain negara demi mendapatkan perlindungan sementara.

Pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) juga memaklumkan bahawa situasi di Rakhine masih tidak menyebelahi etnik Rohingya untuk dibawa pulang dan didapati etnik ini terus masuk ke Bangladesh setiap minggu demi mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

Terdahulu Menteri Penerangan Myanmar, Ye Htut menafikan permusuhan antara masyarakat yang tinggal, hanya memaklumkan bahawa banyak rumah yang masih tinggal dan minoriti Islam Rohingya tidak takut berada di situ.

Namun, ia dilihat perbezaan kenyataan oleh Ye Htut dan kumpulan hak asasi manusia yang menyatakan bahawa, majoriti penduduk di Rakhine berada dalam kelaparan, ketakutan, tidak boleh bebas bekerja dan diganggu jiran sekitar.

Kenyataan tersebut dilaporkan selepas 15 orang deligasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) turun padang dan melihat sendiri impak ke atas krisis pelarian Rohingya pada April lalu.

Wakil deligasi yang diwakili anggota tetap dari Amerika Syarikat, Rusia, China, Britain dan Perancis turut mendengar rintihan minoriti Islam dan mendesak Rakhine agar menerima etnik teraniaya di dunia itu kembali ke kampung halaman masing-masing dan menamatkan diskriminasi terhadap etnik Rohingya tetapi Myanmar masih tidak melakukan sebarang tindakan ke arah gesaan itu.

Seminggu selepas itu dilihat penasihat hal ehwal luar negara Perdana Menteri Bangladesh, Gowher Rizvy menyeru masyarakat antarabangsa menggesa sekatan semula terhadap Myanmar kerana pembunuhan beramai-ramai, genosid dan pembersihan etnik ke atas Muslim Rohingya.

Namun kenyataan ini ditarik balik dalam persidangan antarabangsa mengenai “Krisis pelarian Rohingya: Ke arah penyelesaian lestari” di Univesiti Dhaka sebagai tanda muhibah dan reaksi sikap bertanggungjawab daripada Myanmar. Bagaimanapun, Myanmar dilihat bermuka-muka untuk bertangunggjawab terhadap isu kemanusiaan ini tetapi tidak bertindak seiring dengan tindakan yang sepatutnya.

Myanmar dilihat lantang bersuara dengan mencabar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menunjukkan bukti tuduhan yang dilemparkan kerana bersikap tidak adil kepada etnik Rohingya. Kerajaan Myanmar bagaimanapun telah menafikan sekeras-kerasnya di atas pertuduhan ‘pembersihan etnik’ yang dilakukan terhadap kumpulan etnik muslim Rohingya kerana mereka mendakwa perkara tersebut bukannya satu dasar kerajaan mereka dan jika ada bukti yang jelas, mereka akan mengambil tindakan atas kesalahan jenayah dan salah laku hak asasi manusia.

Bagaimanapun, penafian Myanmar terus dipersoal komuniti dunia rentetan kebanjiran pelarian Rohingya ke negara jiran seperti Bangladesh, Thailand, Indonesia dan Malaysia, sehinggakan dunia meragui penafian yang dilakukan Myanmar bahawa mana mungkin etnik Rohingnya akan lari dari negara sendiri jika kerajaan Myanmar melindungi dan berlaku adil terhadap mereka.

Sementara itu, Myanmar turut didesak dengan memberi kad pengenalan diri yang akan memberikan jaminan sepenuhnya terhadap perlindungan keselamatan dan hak sama rata kepada etnik Rohingya jika benar tiada diskriminasi kaum di sana namun kerajaan Myanmar hanya memberikan kad pengesahan kebangsaan (dokumen yang tidak mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya sepenuhnya) kepada penduduk yang terpilih walaupun jumlah yang memohon lebih ramai.

Pada Mei lalu, Britain telah menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) membantu mencari bukti jenayah yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap penduduk minoriti Islam di Rakhine namun Aung San Suu Kyi pula menafikan dakwaan berlakunya aktiviti penghapusan etnik terhadap golongan minoriti Islam di Myanmar.

Pemenang Nobel Perdamaian, Aung San Suu Kyi hanya menyatakan terdapat banyak permusuhan di Rakhine, tetapi ia adalah perbezaan pendapat antara manusia dan terdapat kejadian orang Islam membunuh orang Islam dan bukannya pembersihan etnik.

Sekali lagi, Myanmar dilihat menafikan jenayah yang telah dilakukan tentera-tentera mereka walaupun telah terbukti jenayah bunuh beramai-ramai, rogol dan kekerasan telah berlaku etnik Rohingya sejak berabad yang lalu.

Justeru, Malaysia kecewa dengan pemenang Nobel Perdamaian yang dahulunya mempraktikkan demokrasi tanpa kekerasan. Kini, kerajaan Malaysia sebulat suara menyatakan pendirian tegas dengan tidak lagi menyokong kepimpinan Aung San Suu Kyi berikutan kegagalan dalam menangani krisis Rohingya ini.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan Suu Kyi telah berubah kerana tidak bertindak sewajarnya berikutan kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Tun Dr Mahathir juga mengkritik kerajaan Myanmar dan Suu Kyi kerana menafikan jenayah yang dilakukan ke atas penduduk Rohingya yang dibunuh beramai-ramai, serangan seksual, kediaman mereka dibakar dan menjadikan etnik Rohingya ini sebagai pelarian sehingga hari ini seperti yang dilaporkan dalam laporan setebal 20 halaman melalui siasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan PBB sebelum ini.


DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB ialah pengerusi Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen