malaysiakini logo
story-image
ADS

Kini berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno yang merupakan perhimpunan pertama parti itu setelah tewas dalam PRU ke-14 pada Mei lalu.

Perhimpunan kali ini adalah yang terpenting dalam membangunkan semula parti induk orang Melayu tersebut.

Dalam perhimpunan ini kita juga akan menyaksikan sama ada Umno masih berada di takuk politik lama atau kian berani menembusi era politik baru.

Sebilangan besar golongan millenial khususnya Melayu masih sayang akan wadah perjuangan Umno ini yang sentiasa mengangkat serta memperjuangkan kaum tersebut sejak sebelum kemerdekaan lagi.

Selama enam dekad mengemudi negara dengan gagah, parti tersebut terpaksa menurunkan sauhnya untuk berehat atas pilihan rakyat Malaysia sendiri.

Umno perlu diubati dari luar dan dalam untuk terus maju dalam gelanggang pilihan raya yang akan datang.

Hari ini golongan milenial yang masih menyayangi Umno mahukan parti itu berubah 200 peratus daripada sebelumnya. Kepimpinan Tertinggi Umno perlu mengambil inisiatif untuk memulihkan semula parti secara total.

Hala tuju Umno dalam tempoh lima tahun pertama pasca-kekalahan haruslah jelas dan signifikan dengan peredaran masa. Umno tidak boleh menjadi seperti pembangkang yang lepas tetapi perlu kekal dan relevan sebagai wadah perjuangan orang Melayu yang masih berada dalam kelas pemikiran yang ketiga.

Selain itu, sekiranya Umno mahu terus gagah melangkah ke dimensi politik baru, Umno perlulah bersiap siaga dengan menyediakan jentera yang moden.

Millenial merupakan salah satu jentera moden yang perlu digilap dalam tempoh masa lima tahun pertama ini.

Jika pada PRU ke-12 dan ke-13 kaum merupakan segmen pengundi utama sebagai punca kemerosotan undi kepada BN, namun pada PRU ke-14 millenial yang menjadi golongan paling besar yang menyumbang undi kepada Pakatan Harapan lantas menamatkan era BN sebagai parti pemerintah.

Natijahnya, Umno perlu bangkit sebagai parti pembangkang yang berwibawa dengan perjuangan ikhlas demi menjaga bangsa, agama dan negara.

Umno mestilah bangkit meskipun ramai pemimpin berwibawa terus meninggalkan parti itu. Percayalah setiap yang pergi itu akan ada penggantinya dan adakala pengganti tersebut lebih baik berbanding yang telah meninggalkan perjuangan ini.


DAENG ABDULLAH adalah anggota Persatuan Pemikir Muda Johor.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen