malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Ura-ura Barisan Harapan Malaysia hanya politik retorik?
ADS

Barisan Harapan Malaysia (BHM) yang diuar-uarkan oleh beberapa pemimpin tertinggi BN menimbulkan persoalan apakah Umno dan komponen BN yang lain tidak mampu bertahan sebagai pembangkang.

Sedangkan, Pakatan Harapan baru memerintah negara kurang empat bulan.

Sejak beberapa minggu, laungan BHM semakin kedengaran di media sosial, blog milik Umno dan portal-portal berita.

Walaupun gabungan BHM – merangkumi Umno, PKR, PAS, MCA, MIC, STAR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta bebas – belum mendapat reaksi positif PKR, beberapa pemimpin BN sudah pun menyenarai pendek jumlah anggota parlimen yang bakal menyertainya.

Berdasarkan satu mesej yang tular di sosial media, Umno bakal akan menjadi kuasa besar dalam gabungan ini dengan 51 kerusi parlimen diikuti PKR (kem Datuk Seri Anwar Ibrahim) 25 kerusi, GPS 19 kerusi, PAS 18 kerusi, MIC dua kerusi dan MCA, STAR dan bebas masing-masing dengan satu kerusi.

Jumlah keseluruhannya 118 kerusi parlimen, sekali gus cukup untuk menubuhkan kerajaan baru bawah naungan Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Pakatan Harapan pula akan tinggal 97 kerusi dengan DAP sebanyak 42 kerusi, PKR (kem Datuk Seri Azmin Ali) 22 kerusi, BERSATU 13 kerusi, AMANAH 11 kerusi serta WARISAN Sabah lapan kerusi dan seorang anggota parlimen bebas.

Tambahnya, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula diangkat sebagai timbalan perdana menteri II.

Penulis sempat berbincang dengan seorang ketua bahagian Umno dari Wilayah Persekutuan yang sangat yakin dengan gabungan ini.

Menurutnya, Anwar akan setuju untuk cadangan gabungan BHM, kerana beliau masih tidak yakin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir didakwa lebih berminat menyerahkan kuasa kepada Azmin sebagai perdana menteri berbanding Anwar, demi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Mukhriz.

Penulis juga terkejut apabila ketua bahagian berkata, Anwar berminat dengan kekayaan yang dimiliki Umno.

Namun, beliau tidak mampu menjawab bagaimana Anwar boleh menikmati kekayaan Umno sedangkan Zahid masih presiden Umno.

Apa yang pelik, kebanyakan pemimpin MIC juga berbisik mengenai gabungan ini, yang mungkin mustahil pada pandangan penulis.

Umno terpaksa membuat pelbagai cadangan dan persefahaman dengan parti-parti Pakatan Harapan untuk terus kekal relevan. Khususnya, demi meyakinkan anggota partinya yang mula meninggalkan parti selepas parti Melayu tersebut tidak ada hala tuju yang tepat.

Persefahaman dengan PAS, kebenaran yang diberikan anggota parlimen Umno kepada Zahid untuk membuat perbincangan dengan mana-mana parti dalam HARAPAN adalah beberapa teknik atau helah yang digunakan oleh Umno meyakinkan anggota partinya.

Pada pendapat penulis permuafakatan antara Umno-PKR atau gabungan BHM hanya satu retorik politik.

Kenyataan Anwar baru-baru ini bahawa beliau tidak melayan permintaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam pilihan raya umum ke14 (PRU14) untuk membuat kerajaan campuran adalah petunjuk Anwar tidak berminat dengan kerjasama dengan Umno.

Yang penting, PKR mungkin akan gulung tikar pada PRU15, sekiranya berjabat tangan Umno. Ini kerana, parti tersebut perlu akur bahawa HARPAN menang bukan kerana rakyat minat terhadapnya, malah kebencian terhadap BN yang membawa undi kepada HARAPAN.

Akhir kata, selamat berjaya kepada Umno untuk berusaha memujuk Anwar dan gabungan HARAPAN!


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen