malaysiakini logo
story-image
ADS

Krisis pelantikan Dr Maszlee Malik selaku presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) semakin panas berikutan pertemuan santai di Restoran Amjal di Bangsar tempoh hari.

Isu itu sebenarnya tidak wajar dianggap dan tidak perlu terlalu dihebohkan, apa lagi dimanipulasi.

Maszlee dilantik ke jawatan itu oleh Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIA. Pada masa sama Maszlee berkhidmat sebagai menteri pendidikan, menjadikan semua universiti awam di Malaysia berada di bawah pentadbirannya.

Justeru pelantikan beliau sebagai presiden UIA dilihat menyebabkan berlaku konflik kepentingan.

Penulis sendiri - sebagai seorang pensyarah kanan universiti awam dan kenalan Maszlee serta pernah bersama dalam beberapa forum - juga tidak bersetuju pelantikan berkenaan.

Namun begitu, ianya tetaplah isu kecil dan tidak perlu pun diadakan demonstrasi atau bersikap keras tanpa adab. Hal ini kerana, banyak lagi kepincangan sistem pendidikan yang memerlukan buah fikir, cadangan ataupun teguran kepada kementerian untuk segera diperbaiki.

Kita faham akan hujah yang mengatakan tentang konflik kepentingan itu tetapi kita juga perlu ingat, kalau Maszlee ingin menjadi diktator dalam sistem pendidikan tinggi, tentu beliau melantik dirinya sendiri menjadi naib canselor (NC) kepada semua universiti awam.

Sudah tentu anda mengatakan, walau tidak menjadi NC dia tetap membuat salah kerana menjadi presiden di UIA dan itu petanda campur tangan politik dalam universiti awam.

Maka untuk itu, saya katakan: anda benar!

Namun begitu, menjadi hak untuk Maszlee menjawab kegusaran kita ini. Kegusaran itu disebabkan kita tidak memiliki akses kepada semua maklumat tentang pentadbiran di UIA, malah dalam kementerian pendidikan juga.

Sudah tentu ada faktor lain yang kita tidak ketahui sehingga akhirnya membentuk keputusan dalam pelantikan Maszlee sebagai presiden UIA ini.

Jadi bagaimana untuk kita mendapat maklumat lengkap mengenainya?

Bertanyalah kepada Maszlee sendiri dan kita juga perlu memberikan beliau benefit of the doubt.

Jika nanti UIA rosak di tangannya

Maszlee bukannya dikenali sebagai seorang penipu, pendusta munafik atau lidah bercabang. Jadi apabila beliau memberikan jawapannya, maka kita terima dahulu tanpa prejudis.

Malah, Sultan Pahang sendiri sebagai pihak yang melantik sudah mengeluarkan kenyataan mempertahankan pelantikan berkenaan.

Begitu juga dengan kenyataan sokongan beberapa tokoh pendidikan termasuk dari universiti lain.

Ditambah lagi dengan duluan yang ditunjukkan oleh sejarah UIA apabila memang ada menteri pendidikan pernah dilantik menjadi presidennya, maka saya menilai isu ini sebagai kecil saja.

Adakah ini bermaksud semua orang perlu terus setuju? Tentulah tidak. Tiada sesiapa yang memaksa anda tetapi jagalah adab dan tingkah laku anda ketika membantah.

Maszlee sanggup memberikan ruang bicara untuk mahasiswa menyuarakan ketidakpuasan hati. Malah dia juga sanggup berdepan dengan mahasiswa secara terbuka, bukan di pejabatnya yang tertutup.

Ada jawapan dan tunjukkan bukti yang sahih bahawa beliau mempunyai hasrat untuk merosakkan UIA.

Jika tiada, berikannya benefit of the doubt - bersangka baik. Jika nanti UIA benar-benar rosak di tangannya, maka datangkanlah seramai mungkin mahasiswa untuk berdemonstrasi menuntut peletakan jawatannya.

Hikmah yang memandu akal manusia ini adalah anugerah yang sukar diperolehi. Ia kurniaan Allah agar anda bertindak sebaiknya dalam situasi yang mencabar.

Jika melihat sesuatu perkara yang tidak difahami, maka siasatlah dengan beradab.

Ambilah pengajaran daripada kisah Nabi Musa yang melihat perbuatan pelik Nabi Khidir, walaupun telah diberitahu agar bersabar menunggu penerangan.

Nabi Musa tidak sabar dan bertanya dengan marah selepas setiap tindakan Khidir. “Adakah engkau melubangi perahu ini untuk menenggelamkan penumpangnya?” soal Musa.

Seperti yang kita semua tahu, setiap tindakan Khidir mempunyai alasan sendiri tetapi menamatkan sesi dialog mereka.

Pengajarannya - hentikan dialog dengan mereka yang tidak sabar menunggu jawapan dan mudah berprasangka. Dialog hanya berjaya jika kedua-dua pihak terbuka untuk mendengar.

Hanya satu duduk bantah?

Sifat Maszlee yang lemah lembut dan mudah dibawa berbincang tidak boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang cenderung bertindak melampau.

Melampau kerana walaupun sudah diajak berbincang, mereka menjawab dengan nada marah. Adakah mereka rasa lekeh berbincang di kedai makan?

Melampau kerana di saat menteri memberi jawapan dengan sopan, mereka menjawab secara biadab dan keras.

Khalifah Uthman bin Affan dibunuh kerana membiarkan sahaja penunjuk perasaan berkampung di depan rumahnya selama berbulan-bulan.

Malah Uthman melayan mereka dengan baik dan lemah lembut walaupun ada yang menawarkan diri untuk menghalau mereka. Isu kecil diperbesar oleh mereka yang ingin membuat kacau dan mengganggu kelangsungan urus tadbir negara.

Gerakan mahasiswa perlu jujur dalam perjuangan. Banyak isu berkaitan universiti akibat perlakuan pengurusan dalam kampus sendiri tetapi tiada suara mahasiswa membantahnya.

Tiada duduk bantah terhadap penutupan kes cubaan merogol di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) walaupun dilapor media.

Begitu juga dengan perbelanjaan universiti awam yang teruk seperti dinyatakan dalam laporan audit negara.

Apa kata rancakkan lagi forum dan perbincangan - sesama mahasiswa - berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Apa prosedurnya, dan jika perlu akta baru bagaimana bentuknya. Ia jauh lebih membawa kebaikan.

Jika mahasiswa sehingga tidak dapat tidur lena akibat Maszlee menjadi presiden UIA, ternyata mahasiswa telah membuang masa yang cukup berharga.


AZAM CHE adalah pembaca Malaysiakini dan pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen