malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Abim: Usaha terancang BJP singkir Muslim di Wilayah Assam
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada projek National Register of Citizens (NRC) yang dilaporkan sedang berlaku di wilayah Assam, India.

Ia bertujuan untuk menyisihkan kelompok tertentu daripada status sebagai warganegara yang sah kerana mereka kononnya dikategorikan sebagai “undocumented immigrant”.

Abim melihat operasi besar-besaran ini yang digerakkan kerajaan wilayah Assam yang dikuasai parti Bharatiya Janata Party (BJP), sebagai usaha terancang untuk menyingkirkan sebilangan penduduk beragama Islam yang mendiami wilayah tersebut walaupun sememangnya mereka adalah warganegara India.

Abim merujuk kepada laporan oleh empat anggota Special Rapporteurs Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang antara lain turut mempersoalkan kriteria yang digunakan dalam proses tersebut.

Abim khuatir proses ini akan mengeluarkan penduduk Muslim yang sememangnya berasal dari wilayah tersebut dari India atas alasan mereka bukan warganegara India yang sah.

Ini termasuklah proses yang sengaja menyusahkan penduduk Islam serta kelompok etnik Benggali untuk mengesahkan kewarganegaraan mereka.

Pelbagai pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch telah menyuarakan kebimbangan berkenaan projek NRC tersebut.

Bahkan badan-badan tersebut turut menjangkakan lebih empat juta warga Muslim di wilayah berkenaan akan menjadi “stateless”.

Ini sekali gus akan mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan yang akan mengakibatkan lambakan pelarian secara besar-besaran membanjiri negara sekitar Bangladesh sehingga ke Asia Tenggara termasuk Malaysia kelak.

Justeru, Abim menggesa masyarakat antarabangsa dan secara khusus kerajaan Malaysia membantah usaha tersebut dengan mendesak kerajaan India untuk mengarahkan kerajaan wilayah Assam menghentikan sama sekali projek NRC ini kerana ia bakal mencetuskan krisis kemanusiaan pada peringkat global.


MOHAMAD RAIMI AB RAHIM ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen