malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Saya ingin menyangkal dakwaan tidak berasas oleh anggota parlimen Kuantan Fuziah Salleh bahawa Wanita PKR telah menjadi ‘pak turut’ dan tidak berani menegur kepimpinan utama.

Wanita PKR bawah kepimpinan Zuraida Kamaruddin telah mengutamakan agenda memartabatkan wanita.

Dalam usaha ini, seringkali Wanita PKR telah mengeluarkan kenyataan yang tidak disenangi dan diterima oleh beberapa pemimpin parti.

Fokus Wanita PKR adalah jelas untuk menjuarai isu dan kepentingan wanita.

Ia dapat dilihat dengan terhasilnya Agenda Wanita Malaysia hasil perjuangan Wanita PKR bawah pimpinan Zuraida sebagai ketua dan Haniza Talha sebagai timbalannya.

Selain itu, Wanita PKR juga telah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk teguran dan nasihat kepada kepimpinan utama dalam memastikan matlamat perjuangan jelas dan tercapai.

Selaku antara sayap paling besar dalam PKR, wanita telah memainkan peranan sebagai penggerak dan nadi utama parti.

Saya sendiri melihat budaya wanita muda yang tidak gentar untuk bersuara dan memberi pendapat dan ia hasil didikan dan tunjuk ajar Zuraida dan kini diteruskan Haniza.

Budaya sihat ini harus diteruskan agar menjadi nilai murni dalam membentuk wanita yang berdaya saing dan berfikiran terbuka.

Saya merasakan matlamat utama Fuziah merebut jawatan ketua Wanita PKR ini berdasarkan atas prinsip ingin mengubah budaya ‘pak turut’ yang langsung tidak wujud ini sebagai tidak sihat kepada perkembangan Wanita PKR.

Seharusnya matlamat utama kita ialah mengangkat martabat wanita serta menjuarai isu serta kepentingan wanita di Malaysia.

Matlamat seperti kuota 30 peratus wanita dalam pembuat dasar seharusnya menjadi sandaran utama agar kita dapat dilihat sebagai progresif dan positif.

Saya berharap agar anggota Wanita PKR dapat memilih Ketua barisan kepimpinan yang progresif dan mampu membawa kita ke arah yang lebih baik dalam mendepani cabaran dan isu wanita di Malaysia.


NURAINIE HAZIQAH SHAFII ialah ketua Srikandi PKR Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen