malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Ke mana Umno dan PAS selepas Sungai Kandis?
ADS

PRK Sungai Kandis baru saja berlalu, dan soalan paling tepat untuk ditanya adalah "ke mana selepas ini?". 

Dan pihak yang perlu ditujukan soalan ini tidak lain dan tidak bukan adalah Umno dan PAS, yang buat kali pertama bekerjasama secara terbuka.

Keputusan dan statistik PRK Sungai Kandis telah pun di ketahui umum dan dijadikan bahan bicara. Ringkasnya tidak ada apa-apa kejutan dan isyarat yang perlu ditafsirkan.

Apa pun keputusannya, ia tidak memberi impak besar terhadap lanskap politik dan kerajaan sedia ada dengan komposisi 51-1-4 (51 ADUN HARAPAN, seorang ADUN PAS dan empat ADUN BN).

Jumlah keluar mengundi yang rendah (25,109 berbanding 43,165 pada PRU ke-14) bukan perkara yang perlu digusarkan. Dengan melihat kepada peratus pengeluar mengundi pula, kemerosotan majoriti calon HARAPAN (5,842 undi berbanding 12,480 undi pada PRU ke-14) juga tidak membawa makna apa-apa.

Lebih penting untuk melihat tahap sokongan undi popular keseluruhan, terutama sokongan orang melayu, kepada kedua-dua calon dan parti yang diwakili mereka.

PRK ini menyaksikan peningkatan undi popular sekitar enam peratus kepada HARAPAN. Peningkatan sokongan orang melayu juga pada peratusan sama.

Dengan kata lain, Umno mengalami kemerosotan undi popular sebanyak enam peratus, dan pakatan Umno-Pas gagal menambah sokongan orang melayu.

Malah kita menyaksikan perkara sebaliknya yang berlaku.

Pada PRU ke-14, HARAPAN menang di kerusi itu dengan undi popular 55.6 peratus. Kali ini, calonnya menang dengan undi popular 61.4 peratus.

Bagi gabungan Umno-PAS pula, kombinasi undi popular mereka pada PRU ke-14 adalah 44.2 peratus, namun kali ini mereka hanya meraih 38.2 peratus.

Dengan peratusan 72 peratus pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis, tahap sokongan orang Melayu untuk Umno-PAS adalah sekitar 56 peratus, manakala kali ini sekitar 50 peratus.

Ini bermakna mereka mengalami kemerosotan enam peratus, kebetulan sama dengan kemerosotan undi popular keseluruhan.

Umno-PAS di Seri Setia?

Melihat kepada yang nyata (keputusan yang dijangka dan majoriti selesa) dan yang tersirat (peningkatan dan kemerosotan undi popular dan sokongan Melayu), persoalan yang lebih utama adalah ke mana hala tuju pembangkang (Umno BN dan PAS) selepas ini.

Apa percaturan mereka dan bagaimana bunyi 'battle cry' mereka selepas ini. Apatah lagi dengan PRK Seri Setia yang akan berlangsung tak lama lagi.

Apa yang pasti, Umno (dan PAS) berani mengambil langkah drastik dan secara terbuka di Sungai Kandis. Bermula dengan persefahaman perlunya satu lawan satu bagi meningkatkan peluang untuk mereka 'mengajar' HARAPAN.

Di pihak Umno, selepas diberi laluan oleh PAS, mereka tahu bahawa undi dan sokongan parti itu sangat diperlukan.

Kehadiran calon mereka di program PAS, kenyataan terbuka barisan pimpinan mereka menunjukkan 'keikhlasan' niat mereka untuk mendapatkan bantuan PAS. Sekurang-kurangnya di PRK itu.

Di pihak PAS pula, buat pertama kali masyarakat boleh menilai parti itu berani mengambil risiko dengan mengerahkan ahli dan penyokongnya - secara terbuka pula - untuk mengundi Umno.

Tidak kurang juga isyarat tersirat dari pemimpin PAS lain. Tidak dinafikan berlaku kekeliruan dan protes di kalangan akar umbi parti itu di Sungai Kandis. Ia boleh dilihat pada keputusan semalam.

Dengan risiko sedemkian, tentunya Umno dan PAS mengharapkan satu kejutan. Jika ditakdirkan Lokman Noor Adam menang, undi popular dan undi Melayu meningkat, Umno dan PAS boleh mendabik dada dan formula kerjasama boleh dikekalkan pada PRK akan datang dan malah pada PRU ke-15.

Malangnya langit yang cerah disangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Jangkaan meleset, kerjasama tidak menjadi, masa depan tidak menentu.

Pastinya ramai akan bertanya - apakah selepas ini. Adakah formula sama bakal disaksikan di PRK Seri Setia atau akan dilupakan begitu saja.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyatakan giliran mereka pula untuk memberi laluan kepada PAS. Tetapi beliau berkata sebelum keputusan semalam. Hari ini belum tentu.

Jadi apakah seterusnya selepas Sungai Kandis?


NAZRI NOOR adalah pembaca Malaysiakini dan penganalisis di firma Strata Analytica.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen