malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Sejak 58 tahun lalu, kerajaan telah memilih 31 Julai sebagai sambutan Hari Pahlawan Negara bagi menghargai bakti dan pengorbanan pasukan keselamatan yang tidak ternilai.

Pengisytiharan Perdana Menteri pertama Malaysia, almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Julai 1960 itu sempena berakhirnya tragedi Darurat yang mengorbankan banyak nyawa tentera, polis dan orang awam.

Keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah sumbangan kudrat bahkan pertumpahan darah para perajurit puluhan tahun lalu mempertahankan kedaulatan tanah air.

Perubahan zaman dengan pesatnya teknologi berkembang menyaksikan anasir yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara juga semakin rencam bentuknya.

Turut mengancam negara adalah golongan pelampau bertopengkan agama atau kumpulan ajaran sesat.

Sejak 2013 sehingga 2017, seramai 369 suspek militan IS ditangkap dan dalam tempoh sama sebanyak 19 siri cubaan melakukan keganasan berjaya ditumpaskan pihak keselamatan.

Tentunya paling tidak dapat kita lupakan adalah pertempuran di Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan lapan anggota pasukan keselamatan, 67 pengganas terbunuh dan lebih 140 pengganas ditahan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang mencintai keamanan perlu menterjemahkan makna kesetiaan kepada negara dengan menghormati semangat perlembagaan tanpa perlu mencetuskan sebarang bentuk provokasi.

Ini termasuklah desakan supaya sejarah ditulis semula dengan mengiktiraf angkatan bersenjata komunis atau menyertai mana-mana organisasi teroris di luar negara yang disahkan antarabangsa sebagai pengganas.

Bagi generasi Y, di bahu kalianlah tergalasnya legasi dan tanggungjawab yang diwariskan daripada mereka yang terdahulu melalui penguasaan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran.

Tahun ini buat julung kalinya Pakatan Harapan (HARAPAN) mendapat mandat rakyat ke Putrajaya.

Pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan sedang dan akan kerajaan lakukan demi kesejahteraan rakyat termasuk bekas anggota tentera yang uzur atau berstatus orang kurang upaya (OKU).

Sempena Hari Pahlawan 2018 ini, Pemuda AMANAH Nasional menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu memerangi sebarang bentuk ekstremisme kaum atau agama dan mengelak daripada terjebak dalam aktiviti subversif yang boleh menggugat kedaulatan tanah air.

Kestabilan Malaysia hari ini adalah hasil panjang puluhan tahun perjuangan seluruh pahlawan kita.

Bersama-sama kita menghargai pengorbanan mereka demi Malaysia Baru yang lebih adil dan sejahtera buat seluruh warganya.


MOHD SANY HAMZAN ialah ketua Pemuda AMANAH Nasional dan ADUN Taman Templer. 

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen